Laman Utama
"Batalkan Kompaun, Tidak Kemas Kini MySejahtera Bukan Satu Kesalahan" - Ismail Sabri
Pengguna yang gagal mengemas kini aplikasi MySejahtera tidak dianggap satu kesalahan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Justeru, beliau meminta agar mana-mana kompaun yang dikeluarkan atas kesalahan terbabit perlulah dibatalkan.
“Ini adalah berdasarkan kepada Akta 342 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang mana tidak terkandung sebagai satu kesalahan untuk dikenakan kompaun oleh mana-mana penguat kuasa," katanya dalam satu kenyataan.
Ismail berkata, bagaimanapun rakyat perlu berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aplikasi MySejahtera.
"MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu pengawasan penularan wabak Covid-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.
"Justeru, aplikasi ini bukan hanya untuk kita mengimbas tetapi yang lebih penting adalah melakukan kemaskini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan serta aktiviti kita pada hari terbabit," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan pegawai penguat kuasa tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Pegawai penguat kuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan," katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video