Kredibiliti muzikal dalam diri dua penyanyi, Benzooloo dan Jonathan Tse tidak perlu disangkal lagi. Keduanya punya kelas tersendiri. Kerap menjalin kerjasama dalam penerbitan lagu, kini mereka tampil bergabung menerusi lagu terbaru berjudul Bebas.

Bebas adalah lagu kedua kerjasama mereka selepas Aku Rela tidak lama dulu. Hubungan rapat terjalin memberikan mereka kelebihan untuk berkongsi idea menghasilkan lagu baru ini dengan sinergi luar biasa.

Bagi Jonathan atau mesra disapa sebagai Jon, dia mempunyai tafsiran tersendiri bagi maksud lagu tersebut.

Bebas lebih kepada bebas melakukan apa saja dalam apa yang saya lakukan, tidak terkongkong dengan apa yang orang mahu.

"Paling penting, kita kena ikhlas dengan diri sendiri. Lagu ini bercerita tentang dalam mula melakukan sesuatu atau cari inspirasi, masa inilah kita kena bebas untuk berani keluar dari kotak selesa itu,” katanya.

Sementara Benzooloo pula berfikir dari sudut lebih spesifik, menurutnya sesebuah kebebasan berkait rapat dengan perasaan gembira.

“Perasaan bebas adalah satu pengalaman yang membawa kegembiraan kepada kita semua. Kita berasa gembira apabila bebas daripada sesuatu perkara.

"Contohnya bebas daripada hutang, bebas daripada ketagihan, dan juga macam-macam lagi.

"Bagi saya pula, saya ingin bebas dari gangguan negatif bila menghasilkan sesebuah lagu," katanya.

Mengulas proses penghasilannya, ternyata Benzooloo dan Jon mudah untuk mencapai kata sepakat memandangkan keduanya sudah saling memahami.

“Tempoh untuk siapkan lirik Bebas memakan masa dalam seminggu kerana pada masa sama ada tulis lagu-lagu lain juga.

"Tambahan pula, selepas siap tulis lagu ini, kami kena ambil masa lebih kurang dalam sehari untuk meneliti semula lirik yang sudah siap ditulis.

"Mana lirik yang tidak masuk akal, kami buang dan gantikan dengan lirik baru,” katanya lagi.

Benzooloo dan Jon adalah dua figura terkenal dalam lapangan muzik di Sabah. Mereka juga berjaya menakluk industri hiburan menerusi pelbagai projek.

Benzooloo pernah popular menerusi lagu Terkemuka bersama Zizi Kirana dan Allahyarham Sandra Dianne, manakala Jon pernah bekerjasama dengan biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Bebas boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.