Berita

Beku Permohonan Lesen Baru Minuman Keras Serta-Merta, Warganet Ucap Tahniah Kepada DBKL

gempak
Fiza Kamarudin
02/06/2020
13:08 MYT
Sponsor Banner
Beku Permohonan Lesen Baru Minuman Keras Serta-Merta, Warganet Ucap Tahniah Kepada DBKL
Warganet menyambut baik keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membekukan semua permohonan baharu lesen minuman keras di sekitar ibu kota berkuat kuasa serta-merta.
Perkara tersebut dimaklumkan DBKL menerusi surat pekeliling yang diedarkan pada Selasa dan menegaskan penguatkuasaan akan dilakukan di premis yang menjual minuman keras tanpa lesen.
Keputusan tersebut dibuat sebagai maklum balas terhadap saranan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang meminta kerajaan menghentikan pengeluaran lesen penjualan minuman keras sehingga garis panduan baharu dan undang-undang diteliti. Ia susulan berlakunya beberapa kes nahas jalan raya membabitkan pemandu mabuk sehingga ada yang mengakibatkan kematian.
Tinjauan Gempak di media sosial Facebook, Twitter dan Instagram mendapati, rakyat memuji tindakan kerajaan untuk membendung kes pemandu mabuk yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini.
Mereka juga berharap agar tindakan keras dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian. Awal pagi Isnin lalu, seorang penghantar makanan terbunuh semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa, akibat dirempuh seorang pemandu dipercayai mabuk.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara itu menyebabkan Mohamed Zaili Mohamed, 44, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh ke sebelah kiri bahu jalan manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
Kemalangan menyayat hati itu mencetus kemarahan warganet yang memohon pemandunya dikenakan tindakan setimpal kerana membunuh.
Pemandu tersebut telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan majistret Puteri Nursheila Rahimi.
Suspek yang merupakan pembantu kedai aksesori kereta, Khor Yong Zhang, 21, didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024