Gaya Hidup
Belajar Sebut Bahasa Melayu Guna Google Translate, Nick & Simon Pertaruhkan 'Kasih Sayang'
Biarpun baru pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia, namun ia tidak menjadi halangan besar buat penyanyi duo kelahiran Belanda, Nick & Simon untuk menyampaikan bait lirik ‘kasih sayang’ dengan baik.
Mempertaruhkan judul ‘Kasih Sayang’ sebagai single terbaru mereka, Simon Keizer, 34, dan Nick Schilder, 35 sepakat menjadikan Malaysia sebagai lokasi pertama untuk melebarkan sayap di rantau Asia.
Menurut Nick, mereka hanya memerlukan beberapa saat saja untuk menyebut perkataan tersebut.
“Kami ada cuba mendengar sebutan perkataan kasih sayang menggunakan Google Translate.
“Ternyata ia sama sewaktu kami cuba menyebutnya buat pertama kali. Tak lama pun masa yang kami ambil, kejap saja,” katanya.
Sementara itu menurut Simons pula, perkataan kasih sayang itu sendiri dipilih kerana ia sangat dekat dengan jiwa masyarakat tempatan.
“Sebelum menulis lagu ini, kami telah membuat sedikit kajian berkaitan selera muzik rakyat Malaysia menerusi platform penstriman, Spotify.
“Selepas beberapa jam, kami kemudian berjaya menghasilkan sebuah lagu. Namun Nick memberi idea supaya menyelitkan elemen atau bahasa Malaysia supaya ia lebih dekat dengan citarasa tempatan.
“Setelah melalui beberapa perbincangan, kami sepakat untuk memilih kasih sayang,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Untuk makluman, Nick dan Simons berada di Malaysia selama 10 hari untuk merakam dokumentari muzik digelar sebagai ‘The Dreams’ yang bakal disiarkan di Netherlands.
Program yang telah memasuki musim kelapan itu akan memfokuskan Malaysia sebagai negara pilihan dengan membabitkan beberapa lokasi termasuk Melaka, Johor dan Kuching, Sarawak.
Pada yang masih belum mendengar single terbaru ‘Kasih Sayang’, anda boleh layan muzik video rasmi mereka di bawah.
Must-Watch Video