Setiap wartawan hiburan yang masuk ke dunia kewartawanan hiburan di antara awal tahun 2000 sehingga kini, nama pena HUZZ bukan asing. Umpama satu ‘dosa’ jika ada wartawan hiburan yang bertanya ‘siapa HUZZ’?

HUZZ, sosok wartawan hiburan dengan rambut ikal, bertubuh gempal, lemah lembut dan tinggi budi bahasa adalah seorang wartawan veteran dan legenda yang selalu menjadi rujukan dan kadang-kala menimbulkan rasa cuak kerana auranya sebagai wartawan hebat.

HUZZ dan majalah URTV dari Utusan Melayu / Utusan Karya sangat sinonim. Jauh sebelum itu, HUZZ sudah mencetak banyak sejarah dan kejayaan saat berkhidmat dengan majalah Media Hiburan misalnya.

HUZZ dan barisan artis baik sehebat Ramlah Ram, Sofea Jane, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Misha Omar, Mawi, Haiza atau pendatang baharu dunia seni ibarat lagu dengan irama.

Keakraban, gaduh-manja, nasihat serta bertuah kerana pernah cerita atau berita ditulis HUZZ, juga ada karya seperti lagu dihasilkan beliau kini hanya tinggal kenangan.

Tidak ada yang akan terulang kerana HUZZ atau nama sebenarnya, Kamal Huzaini Kamaludin telah berpulang ke Rahmatullah pada 8 Jun 2024 pukul 6.10 petang di kediaman abangnya di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.

HUZZ menghembuskan nafas terakhir pada usia 58 tahun kerana kanser usus tahap empat.

BERITA TRENDING: Wartawan Hiburan Popular, Huzz Meninggal Dunia

Sosoknya berubah drastik. Tubuh HUZZ kurus kerana penyakit yang diderita tanpa sedar.

Bermula Mac tahun ini sehingga 31 Mei lalu, HUZZ menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum mahu dibawa pulang dan berehat di kampung.

Ironi, sehari sebelum pulang ke kampung, penulis bersama penyanyi Misha Omar, kakak dan pengurusnya, Mimie Omar serta rakan wartawan HUZZ, Wanda Idris menyantuni Allahyarham di HKL.

Huzz asyik tersenyum

HUZZ nampak sihat dan asyik tersenyum. Setelah berat badannya susut dan rambut dipangkas pendek, HUZZ kelihatan kacak — hidung mancungnya paling banyak mendapat pujian.

“Rambut ini Nurul Shukor yang potong. Itu kawan HUZZ. Nama Nurul Shukor itupun HUZZ yang beri sebab waktu itu sudah deadline jadi HUZZ cakap ‘aku letak Nurul Shukor sajalah”, kenangnya dalam pertemuan kami tengahari sekitar lebih satu minggu lalu.

HUZZ senyum dan sesekali ketawa melihat keletah teman-teman (selain kami berempat) yang turut hadir menziarah.

Bunga-Bunga Cinta

Allahyarham kemudian bercerita tentang pengalamannya diberi kepercayaan memilih lagu Misha Omar untuk dipasarkan saat penyanyi itu masuk ke industri muzik tempatan.

“Lagu Bunga-Bunga Cinta itu HUZZ yang pilih. Zaman dulu, syarikat rakaman akan cari wartawan untuk dengar dan pilih lagu yang akan dipasarkan.

“Jadi BMG hantar demo lagu Bunga-Bunga Cinta. Waktu itu HUZZ minta mereka letak 10 kali lagu Bunga-Bunga Cinta dalam kaset supaya tak perlu putar (rewind) banyak kali.

“HUZZ minta mereka pilih lagu Bunga-Bunga Cinta (jadi single),”katanya tersenyum lagi tentang lagu ciptaan Allahyarham Adnan Abu Hassan dan memenangi Anugerah Lagu ke-18 tersebut.


Pulang menziarah HUZZ, Misha dan Mimie berbicara tentang sosok wartawan yang dikagumi ini.

“Tadi kami sempat minta maaf. Kami cakap minta maaf atas semua kesalahan kami.

“Tapi tahu apa HUZZ balas? Dia balas ‘HUZZ MINTA AMPUN’, ampun, bukan maaf ya. Gugur air mata kami. Betapa baiknya HUZZ,” kata Misha dan Mimie.

Begitulah HUZZ. Jika sesiapa yang pernah mengenalnya, tidak ada seorang pun yang akan mengatakan Allahyarham dengan bicara negatif. Peribadi baiknya sangat disegani.

Bos yang tegas

Meski disifatkan sebagai bos yang tegas dan garang pada satu masa saat bertugas, namun di luar ‘kulit’ majikan, HUZZ bergaul mesra malah bersahabat dengan semua bekas pekerjanya tidak kira muda atau tua.

HUZZ yang dikenali sangat disenangi. Kepulangan HUZZ ke negeri abadi membuat dunia kewartawanan hilang sosok berkaliber, punya integriti dan disegani yang tidak ada galang ganti.

Selamat berpulang dengan senang hati, (kerana Allahyarham mengaku reda dan sudah bersedia dijemput Ilahi) Kamal Huzaini Kamaludin.

Jasa, bakti dan ilmu yang dicurahkan secara langsung atau tidak akan dibawa mati.
Al Fatihah HUZZ.

BERITA TRENDING: "Kerusi Roda Diguna Di London Ihsan Neelofa" - Adik Fiza Kamarudin

BERITA TRENDING: Wartawan Foto Palestin, Motaz Azaiza Dinobat Man of the Year Majalah GQ

BERITA TRENDING: Pernah ‘Bercakap Seorang Diri’, Mantan Wartawan Hiburan Kongsi Kisah Peribadi Untuk Kesedaran Pesakit Mental

BERITA TRENDING: Ismail Sabri Santuni Bekas Wartawan Hiburan, Rosli Manah Pernah Bantu Lonjakkan Karier Seni Dafi