Gaya Hidup

Kenali Jenis Kulit Bayi, Pilih Produk Sesuai Elak Alahan & Iritasi

gempak
Gempak
21/06/2024
13:55 MYT
Sponsor Banner
Kenali Jenis Kulit Bayi, Pilih Produk Sesuai Elak Alahan & Iritasi
Pemilihan produk mandian yang sesuai dan berkualiti untuk bayi penting bagi mengekalkan kesihatan dan kelembapan kulit mereka, kata Pakar Dermatologi Pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Heah Sheau Szu.

Barangan Ada Ramuan Tak Sesuai

Beliau menasihati ibu bapa untuk mengelak membeli barangan mengandungi ramuan yang akan menyebabkan kulit bayi menjadi kering atau mendatangkan masalah alahan seperti natrium lauril sulfat (SLS), natrium lauril eter sulfat (SLES), cocamide DEA, Dimethylol-dimethyl (DMDM), Methylisothiazolinone (MIT) serta paraben.

"Untuk bayi yang alah terhadap wangian, elakkan membeli produk mengandungi pewangi, benzil alkohol dan etanol," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata produk mandian berbuih untuk bayi mungkin bukan pilihan yang baik kerana lebih banyak buih dihasilkan bermakna lebih banyak bahan aktif yang terkandung dalam produk itu.
"Hal ini akan menipiskan lagi lapisan pelindung kulit pada badan bayi sehingga menyebabkan kulit mereka menjadi kering dan kasar. Oleh itu, elak menggunakan produk berbuih banyak dan mempunyai tahap alkali tinggi kerana ia akan menyebabkan kulit bayi menjadi sensitif," katanya.
Dr Heah berkata simptom alahan akan muncul sekiranya bayi diberikan produk mandian yang tidak sesuai dengan kulit mereka.
"Simptom berkenaan antaranya bintik merah, ruam, kulit menjadi kasar, kering, gatal dan mengelupas. Jika tahap alahan semakin teruk, bayi akan rasa sakit malah kulit akan menjadi merah," katanya.

Simptom Alahan

Beliau berkata simptom alahan biasanya muncul selepas beberapa minggu atau bulan selepas menggunakan produk, bukan hanya sekali dua menggunakannya.
"Kadangkala punca bayi alah terhadap sesetengah produk mandian disebabkan tahap kepekatan sumber sensitif yang digunakan bagi produk berkenaan. Selain itu, perlu diingatkan bahawa jumlah sabun atau krim mandian yang digunakan juga satu daripada faktor menyebabkan kulit bayi menjadi alahan," katanya.
Dr Heah menjelaskan bahawa menggunakan jumlah sabun yang banyak bukan menyebabkan kulit bayi bersih sebaliknya cara itu mencederakan lapisan pelindung kulit bayi dan menyebabkan kulit bayi menjadi alahan disebabkan sabun yang tertinggal di atas kulit mereka.
"Sehubungan itu, lebih baik menggunakan (sabun atau krim mandian) sekali sehari kerana adalah lebih baik menggunakan air bersih untuk mandi bagi mengelakkan bahan kimia menjejaskan kulit bayi.
"Letakkan jumlah sabun mandian yang sesuai di atas tapak tangan, tambah sedikit air kemudian mandikan bayi dengan air yang bersih. Perlu pastikan tiada kesan sabun atau krim mandian yang tinggal atas badan bayi kerana bekas berkenaan akan menyebabkan alahan terhadap kulit serta mungkin menjejaskan mata dan hidung," katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk ibu mengenali keadaan kulit bayi dan penyebab iritasi kulit.
"Ibu bapa boleh mencari produk mandian sesuai untuk anak menerusi saluran seperti laman web berkaitan. Mereka juga perlu peka terhadap setiap produk mandian yang digunakan.
"Sekiranya didapati anak alah terhadap produk berkenaan, maka hentikan penggunaannya. Memastikan produk mandian yang sesuai untuk bayi mereka adalah penting supaya kulit bayi lebih sihat," katanya.
Sumber - BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi 8 Bulan Mampu Sambung Bacaan Surah Lazim, Ibu Praktikkan Alunan Selawat, Zikir & Azan Setiap Hari

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Kongsi Pengalaman Bersalin, Muka Anak Calar Terkena Alat Pecah Ketuban - “Syukur Tak Kena Mata, Tapi Hampir Ya”

ARTIKEL BERKAITAN: Suami Eyra Hazali Sedih, Impian Nak Anak Kembar Tak Kesampaian - “Dia Mengharapkan Juga Dari Anak Pertama Tapi…”

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi 20 Bulan Maut, Dilanggar Bapa Semasa Mahu Undur Kenderaan

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live