HIBURAN
Bella Astillah Hadir Beri Sokongan Kepada Syed Saddiq
Bella Astillah sekali lagi mencuri perhatian apabila hadir pada hari ketiga pendengaran rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Khamis.
Selebriti itu kelihatan menawan dengan mengenakan baju kurung ketika tiba pada jam 8.40 pagi.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 19 dan 20 Mac bagi prosiding pendengaran rayuan Syed Saddiq, 33, bagi kes itu.
Bagaimanapun selepas dua hari hujahan, prosiding ditangguhkan kepada Khamis, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan tidak dapat meneruskan hujahan kerana mengalami sakit tekak.
Sebelum ini Bella pernah menemani ahli politik itu ke sidang Dewan Rakyat yang mana Syed Saddiq segak berbaju Melayu sementara Bella berbaju kurung dengan rona sedondon.
Video kehadiran Bella di Parlimen, turut dikongsi menerusi Facebook Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Must-Watch Video