VIRAL
Bella Astillah Muncul Pada Majlis Hari Jadi Ibu Zizan Razak, Apa Cerita Sebenarnya?
Baru-baru ini kehadiran bekas isteri Aliff Aziz, Bella Astillah di majlis sambutan hari jadi ibu kepada pelakon dan pelawak Zizan Razak menjadi tanda tanya netizen.
Ramai yang beranggapan mereka punyai hubungan istimewa malah ada yang sampai setuju seandainya kedua-duanya saling berjodohan.
Bertemu sendiri dengan Zizan pada majlis doa selamat dan prapelancaran telefilem Kerusi Kecil di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini, Gempak mendapatkan komen lanjut daripada pelakon itu.
"Sebenarnya pada malam sambutan hari jadi ibu saya, Bella ada menghubungi saya untuk bertanyakan lebih lanjut tentang telefilem yang menggandingkan kami berdua.
"Jadi, memandangkan dia pun ada berdekatan dengan saya, saya mempelawanya sekali hadir ke majlis hari jadi ibu saya ketika itu.
"Oleh kerana dia pun tidak kemana-mana, dia datang dan selepas itu habis macam itu sahaja. Tak ada apa-apa pun," jelas Zizan.
Tambah Zizan dia pada mulanya mengenali ibu dan adik kepada Bella, Didi Astillah terlebih dahulu ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran sebelum meminta nombor telefon Bella.
"Sebelum saya berhubung dengan Bella saya terjumpa adik dan ibunya sedang makan berhampiran saya di sebuah restoran.
"Ibu dia tegur saya dan kebetulan saya terfikir untuk mengajak Bella berlakon sebagai heroin telefilem baru nanti.
"Jadi, saya meminta nombor telefon Bella ketika itu," tambahnya.
Sama seperti Bella, jelas penyanyi genit itu tiada hubungan istimewa antara mereka memandangkan kehadirannya pada majlis hari jadi ibu Zizan sekadar untuk berbincang mengenai kerja.
"orang ingat saya ada di majlis itu kerana Zizan yang bawa, padahal saya datang bersama keluarga saya dan mereka menunggu saya di dalam kereta.
"Saya ada di majlis itu pun sekejap sahaja," ujar Bella.
Must-Watch Video