Tiga beradik ditahan untuk siasatan kes bunuh dan tanam mayat seorang lelaki di Sungai Choh, Rawang, Selangor pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan diterima pihaknya daripada penduduk di lokasi terbabit pada jam 11.25 malam selepas mendakwa mendengar bunyi pergaduhan di sebuah rumah.

Menurutnya, pengadu juga mengatakan terdengar perbualan jirannya itu meminta tolong untuk membantu menanam satu mayat.

"Polis yang tiba di lokasi dan siasatan di lokasi kejadian telah menjumpai satu mayat lelaki disyaki warga tempatan tanpa pengenalan diri yang ditanam dalam satu lubang di kawasan belukar.

"Mayat itu kemudian telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Susulan itu, beliau berkata, tiga individu iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 33 tahun telah ditahan disyaki terlibat dalam kes terbabit.

Katanya, motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan salah seorang suspek.

"Siasatan masih diteruskan dan usaha bagi mengesan beberapa individu sedang giat dijalankan," ujarya.

Tambah Noor Ariffin, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintenden Puteri Noor Asiah Mohd Sharif di talian 012-6718024 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-61262242.