Ramai pasangan muda yang mempunyai ‘selera tinggi’ membelanjakan wang simpanan untuk majlis perkahwinan.

Dengan berhabis duit menjadi raja sehari, mereka tidak sedar cabaran kewangan sebenar adalah selepas mendirikan rumah tangga.

Memetik laporan Astro Awani, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang bekerjasama dengan Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mengukuhkan pengurusan kewangan pasangan yang bakal berkahwin.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata ia sekaligus menyebabkan pasangan tersebut terjebak dalam kancah hutang, yang seterusnya menjadi punca kepada perceraian.

“Sebenarnya pasangan muda yang baru berkahwin memerlukan banyak masa untuk mempelajari hal-hal kewangan sejurus selepas mereka memasuki alam perkahwinan.

“Mereka cenderung membelanjakan wang untuk persiapan perkahwinan sehinggakan mereka terbeban dengan hutang,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh kepada Awani.

Inisiatif itu akan dilancarkan dalam tempoh terdekat membabitkan pengukuhan bab kewangan dalam kursus pra perkahwinan bagi pasangan bukan Islam dan Islam.

Untuk rekod, sebanyak 2,932 kes perceraian di bawah usia perkahwinan lima tahun bagi orang Islam di Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan direkodkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 2013 hingga tahun 2017.

Bagi bukan Islam pula, sebanyak 14,440 kes direkodkan bagi tempoh sama berdasarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).