Filem yang mengangkat tema sesuatu sukan sangat memberi inspirasi dan banyak pengajaran kepada penontonnya.

Walaupun karya bergenre sukan masih kurang mendapat perhatian peminat filem tempatan, namun ia tidak sesekali mematahkan semangat pengarah-pengarah berbakat dalam mengetengahkan kisah penuh inspirasi ini.

Di sini, Gempak senaraikan enam filem bergenre sukan dalam dan luar negara untuk kita hayati mesej yang ingin disampaikan. Selamat menonton!

1. Libas (Sepak takraw)

Filem Libas merupakan sebuah filem bertemakan komedi kesukanan arahan Jurey Latiff Rosli. Filem yang ditayangkan pada 29 September 2011 ini mengangkat sukan popular sepak takraw.

Filem ini diterajui oleh pelakon terkenal Datuk Rosyam Nor, Scha Al-Yahya, Adam Corrie dan ramai lagi.

Libas mengisahkan sekumpulan anak muda dalam memperjuangkan sukan sepak takraw yang kononnya sudah lama dirampas rakyat Thailand.

Ketua kumpulannya yang telah mengalami kecederaan teruk di kaki, Adnan Saladdin lakonan Rosyam dan jurulatihnya, lakonan Mohd Razib Salimin bertekad untuk kembali bertarung bagi merampas kembali maruah mereka.

Bagaimanapun Raja Libas harus mencari pengganti bagi melengkapkan pasukannya.


2. Dangal (Gusti)

Filem ini berdasarkan kisah seorang ahli gusti profesional dari India, Mahavir Singh Phogat.

Filem yang penuh dengan pengajaran, isu keluarga dan semangat juang yang tinggi ini mengisahkan kisah Mahavir Singh Phogat (Aamir Khan) seorang bekas ahli gusti yang pernah memenangi pingat perak.

Dia telah berjanji dan nekad untuk dapatkan pingat emas dengan melatih gusti kepada anak lelaki. Namun, ia tidak menjadi kenyataan apabila mereka dikurniakan empat orang anak perempuan.

Mahavir tidak berputus asa apabila dia menyedari anak perempuannya turut mempunyai bakat dalam bergusti dan terus membuat keputusan untuk melatih anaknya, Geeta dan Babita.


3. Lee Chong Wei: Rise Of The Legend (Badminton)

Filem arahan Teng Bee ini mengisahkan kehidupan awal jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang penuh liku sebelum berjaya muncul sebagai pemain badminton nombor satu dunia.

Ia membariskan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor yang membawa watak jurulatih Chong Wei iaitu Misbun; pelakon Singapura, Mark Lee (sebagai bapa, Lee Ah Chai); Yeo Yann Yann ( ibu, Khor Kim Chooi); Ashley ( isteri, Datin Wong Mew Choo) dan Tosh Chan membawa watak Chong Wei.

Filem ini dibikin berdasarkan autobiografi Lee Chong Wei yang bertajuk Dare to Be a Champion.

Filem ini ditayang pada 15 Mac 2018 dan berjaya mengutip sasaran pecah panggung sebanyak RM6 juta.

4. Rush (Formula One)

Filem Rush diambil dari kisah sebenar permusuhan antara dua pelumba kereta Formula One 1976 James Hunt dan Niki Lauda.

Ketika itu, sukan ini bukan sahaja dilihat pada bakat malah rupa hanya bonus buat pelumba James Hunt yang hidupnya lagak selebriti berbanding Niki Lauda.

Namun disebalik persaingan ini anda dapat lihat mereka sebenarnya membantu antara satu sama lain.

5. Geran (Pencak silat)

Geran merupakan filem drama aksi pencak silat Malaysia yang ditayangkan 10 Oktober 2019.

Filem ini mengisahkan satu keluarga pesilat yang perlu pertahankan nama dan tanah rumah mereka daripada tergadai setelah adik mereka lari dengan geran tanah.

Filem arahan Areel Abu Bakar ini dibintangi pelakon hebat seperti Namron, Fad Anuar, Khoharullah, Azlan Komeng, Taiyuddin Bakar, Aeril Zafrel, Adam Shahz dan Niezam Zaidi.

6. On Your Mark (Maraton)

Filem pecah panggung di negara China pada tahun ini, On Your Mark mengangkat kisah besar daripada sukan kegemaran ramai iaitu maraton.

Diarahkan oleh pengarah filem hebat OlaBola, Chiu Keng Guan sekali lagi memberi sentuhan magisnya yang mampu menyentuh perasaan penonton melalui subjek utama iaitu hubungan kekeluargaan serta pengorbanan dan semangat juang dalam mengejar sebuah impian.

Filem ini mengisahkan seorang anak muda, Xiao Erdong bercita-cita untuk menjadi pelari maraton seperti ibunya.

Namun, cita-citanya dihalang oleh ayahnya Xiao Daming kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa mengenangkan Xiao Erdong berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.

Namun, sewaktu berlatih secara sembunyi, Xiao Erdong telah terjatuh dan mimpi ngeri ayahnya menjadi kenyataan apabila Xio Erdong disahkan buta.

Saksikan filem hebat On Your Mark yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 26 Ogos 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.