Sekilas
- My Chemical Romance (MCR) berjaya mengumpul lebih 120,000 penonton dalam dua malam konsert di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 dan 20 November selepas hampir dua dekad tidak ke Malaysia.
- Penganjur, Hello Universe, menghadapi pelbagai cabaran dan pengorbanan untuk merealisasikan konsert ini, termasuk menambah jualan tiket bagi memenuhi permintaan peminat.
- Konsert hampir tiga jam itu menampilkan persembahan penuh tenaga dan elemen teater oleh MCR, dengan lagu ikonik seperti Welcome To The Black Parade dan Helena yang dinanti-nantikan penonton.
Kumpulan rock alternatif terkenal dari Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR) mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya menghimpunkan lebih 120,000 penonton sepanjang dua malam konsert mereka di Malaysia.
Lebih bermakna, konsert yang berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 dan 20 November itu turut menandakan kemunculan semula MCR di Malaysia selepas hampir dua dekad, sekali gus menjadi momen yang cukup pastinya dinantikan peminat.
Walau bagaimanapun, kejayaan konsert berskala besar pastinya bukan sesuatu yang mudah buat pihak penganjur, Hello Universe.
Menurut pengasasnya, Adam Ashraf memberi gambaran mengenai pengorbanan dan cabaran yang terpaksa dilalui sepanjang usaha membawa MCR ke Malaysia.
“Ada pengorbanan yang orang tak lihat. Ada luka yang masih tersimpan,” tulisnya di Threads.
Perkongsian tersebut turut menerima respons positif daripada peminat yang menghargai usaha pihak penganjur merealisasikan impian mereka untuk menyaksikan MCR secara langsung.
Sepanjang persembahan hampir tiga jam, MCR yang dianggotai Gerard Way, Ray Toro, Mikey Way dan Frank Iero Membuka tirai persembahan dengan sketsa bertemakan Phantom, kumpulan itu kemudian memulakan segmen Medication Time / Anthem menerusi lagu The End, Dead!, This Is How I Disappear dan The Sharpest Lives.
Tidak hanya menonjolkan kekuatan vokal dan muzik, vokalis kumpulan, Gerard Way turut menampilkan elemen teater menerusi penampilan dengan mulut dipenuhi dakwat hitam seolah-olah dirasuk ketika menyampaikan lagu ikonik Welcome To The Black Parade.
Lebih mengujakan, seluruh stadium seakan-akan bertukar menjadi koir gergasi apabila kesemua penonton menyanyikan lagu berkenaan beramai-ramai sebelum MCR meneruskan persembahan dengan I Don’t Love You dan House Of Wolves.
Memasuki segmen A Gift, peminat dihidangkan dengan rangkaian lagu seperti Cancer, Mama, Sleep, Teenagers, Disenchanted dan Famous Last Words sebelum Blood menutup tirai persembahan pertama.
MCR kemudiannya kembali menghangatkan pentas menerusi Give ’Em Hell, Kid, Na Na Na (Na Na Na Na Na Na Na Na Na) dan Our Lady Of Sorrows.
Memasuki bahagian kedua, penonton terus dihiburkan dengan lagu SING, AMBULANCE dan Cemetery Drive sebelum MCR mempersembahkan Helena yang pastinya dinanti-nantikan penonton.
Terdahulu, konsert MCR di Malaysia turut berdepan spekulasi mengenai kemungkinan pembatalan selepas tarikh persembahan ditunda, selain dakwaan jualan tiket kurang memberangsangkan.
Bagaimanapun, Hello Universe meneruskan perancangan seperti dijadualkan dan turut membuka jualan tiket tambahan bagi zon Tier 3 bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat menghadiri konsert berkenaan.