Sekilas
- Siti Khadijah Halim menegaskan dia dan Amir Ahnaf masih berkawan walaupun ada dakwaan hubungan mereka sudah berakhir.
- Dia meminta peminat mendoakan yang baik dan memberi tumpuan kepada bakat lakonannya, bukan hanya kisah cinta.
- Siti juga berkata mereka akan tetap bertegur sapa jika bertemu kerana industri seni kecil dan sentiasa berjumpa orang yang sama.
Pelakon Siti Khadijah Halim menegaskan dia dan aktor Amir Ahnaf masih berkawan selepas segelintir peminat mendakwa ‘kapal’ mereka sudah karam.
Siti berkata, dia tidak mahu mengulas panjang mengenai hubungan mereka kerana menganggap perkara itu agak sensitif.
Dia bagaimanapun meminta peminat terus mendoakan yang baik-baik buat mereka.
“Siti tak nak komen panjanglah. Seperti yang Siti cakap sebelum ini, kalau ada rezeki, ada. Kalau tak ada, tak adalah. Maksudnya tak ada rezeki.
“Siti harap semua faham dan peminat doakan kami. Kami juga tercalon untuk kategori gandingan di ABPBH. Kalau ada rezeki juga, ada. Tak nak komen banyak sebab benda ini agak sensitif,” katanya.
Ditanya sama ada mereka masih bertegur sapa, Siti berkata dia akan menyapa Amir seperti biasa jika bertemu.
“Kami berkawan. Industri ini kecil saja, pusing-pusing kita akan jumpa orang yang sama. Kalau dia ada di sebelah pun saya akan tegur saja,” ujarnya.
Mengulas mengenai harapan peminat terhadap mereka berdua, Siti meminta orang ramai turut memberi perhatian kepada bakatnya sebagai pelakon.
“Minta maaf, saya bukan kapten kapal itu. Saya hanyalah seorang wanita yang menjadi penumpang. Saya hanyalah anak kapal, bukan nakhodanya.
“Saya minta maaf kalau ini tak seperti yang anda jangkakan, tapi tolonglah lihat bakat saya, bukan setakat kisah cinta saya.
“Kalau ada berita baik, saya akan beritahu. Saya akan uar-uarkan untuk mengelakkan fitnah,” katanya sambil ketawa.