Banyak rupanya cabaran yang terpaksa diharungi oleh para pelakon Marabahaya Underground sewaktu membintangi filem berkenaan.

Menurut pelakon utama Marabahaya Underground, Joey Daud, antara cabaran terbesar pada waktu itu adalah terpaksa meneruskan penggambaran ketika bulan Ramadan.

“Cabaran yang pertama adalah puasa. Gila puasa-puasa kena lari, kemudian buat drift… dahsyat!

“Tapi alhamdulillah semangat kuat, kami bertahan berpuasa demi filem Marabahaya Underground,” katanya yang memegang watak sebagai Shah Dhani dalam filem berkenaan.

Sementara itu, bagi pelakon Jasmin Suraya yang membawakan karakter Dotty, dia berkata agak sukar untuk membawakan watak berkenaan mengikut apa yang dikehendaki oleh skrip.

“Kadang-kadang saya keliru dengan watak Dotty. Pernah sekali kita shoot satu scene tu. Saya rasa dialog yang dilontarkan pada waktu berkenaan dalam suara yang ganas. Tapi pengarah pula tak nak ganas sebab nak nampak friendly.

“Saya tak dapat feel friendly tu. Tapi itulah cabaran terbesar sewaktu melunaskan sesi penggambaran Marabahaya Underground, perlu berada antara ganas, friendly sarcastik dan girly,” katanya.

Marabahaya Underground mengisahkan tentang Chon (Hazama) peminat sukan permotoran dan sangat mengidolakan Shah Dhani (Joey Daud), iaitu seorang raja drift Malaya. Namun, Shah Dhani juga merupakan seorang yang banyak hutang dan kaki judi.

Shah Dhani menggunakan Chon untuk melepaskan dirinya daripada hutang dan berjanji untuk menjadikan Chon anak didiknya dalam dunia ‘drift’ di Malaysia. Shah Dhani yang berhutang dgn Dotty (Jasmin Suraya) terpaksa melibatkan Chon di dalam kancah pekerjaan penghantaran duit dan barang terlarang tanpa pengetahuan Chon.

Pelakon-pelakon lain yang turut menghiasi filem terbitan produksi D’edge Communication ini adalah Santesh Kumar, Dayana Roza, Scha Elinnea dan Amzarul.

Manakala bagi penampilan istimewa seperti, wajah-wajah popular seperti Wahid Senario, Hamdan Senario, Amir Raja Lawak, Zalif Sidek serta Pelumba Supercar Negara, Zen Low, Pelumba Kereta Negara, Keifli Othman, Drifter Negara, Jian Hui Wong, dan Pelumba Rally Negara, Faizal Alang turut menghiasi Marabahaya Underground.

Filem Marabahaya Underground boleh mula ditonton di saluran Astro First bermula 2 Disember ini.