Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh penguatkuasaan bermula 9 November sehingga 6 Disember iaitu selama empat minggu.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah melaksanakan penilaian risiko dan mendapati terdapat peningkatan bilangan kes COVID-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri-negeri tersebut.

“Pelaksanaan PKPNB ini bagi membolehkan KKM menjalankan saringan secara bersasar dan mengekang penularan COVID-19 dalam komuniti.

“PKPB dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia kecuali tiga negeri iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan. Negeri-negeri lain semuanya dikenakan PKPB,” katanya dalam sidang media harian, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ismail menyatakan prosedur operasi standard untuk PKPB itu sama juga seperti yang dilaksanakan sebelum ini.