Pencetus Ummah (PU) dan pendakwah bebas, PU Syed Bakri tampil memberikan sedikit ‘tazkirah’ kepada usahawan kosmetik sensasi, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengenai kontroversi klip promosi lagu terbaharunya, Kelepok Raya.

Menurut PU Syed, dia meminta supaya Aliff Syukri yang mempunyai pengaruh ramai itu supaya menghormati kemuliaan bulan Ramadan.

“Sampaikan ingatan ini kepada DS Aliff Syukri. Sedikit respon saya mengenai video klip ahli perniagaan terkenal yang mempunyai pengaruh ramai.

“Nasihat pada beliau, hormati bulan Ramadan Al-mubarak.

“Kalau nak menyanyi lagu silakan, tapi bila mempamerkan penyanyi yang masya-Allah sangat tidak sesuai, dengan gaya pemakaiannya, merosakkan dari sudut agama dan adat kita.

“Pakai songkok tapi singlet, ini satu benda yang masya-Allah satu yang aibkan umat Islam,” katanya.

Tambahnya, dia juga memohon supaya Aliff Syukri tidak membuat sesuatu perkara yang mengundang kecaman ramai.

“Jangan buat satu benda yang mendatangkan kecaman, adakah kita suka orang kecam kita

“Jadi masalah kita apabila kita suka isu suka orang kecam kita. Adakah semakin kita kena kecam, kita jadi semakin popular dan semakin kaya?

“Adakah itu hadir dalam pemikiran kita?,” katanya.

PU Syed berkata demikian menerusi satu posting video di TikTok rasminya.

Sekadar info, Aliff menerima kecaman hebat daripada netizen apabila berkongsi beberapa klip promosi lagu terbaharunya, Kelepok Raya yang menyaksikan sekumpulan lelaki menari dalam keadaan menggeletis mengalahkan perempuan dan menggayakan baju Melayu sendat.

Pun begitu, Aliff bertegas bahawa karya muzik bersempena Aidilfitri yang bakal dikongsikan atau dilancarkan kepada umum Rabu ini merupakan satu bentuk atau cabang seni.