Laman Utama
Bersyukur Dijangkiti COVID-19, Ari Lasso Dikesan Hidap Kanser Limfoma Tahap Dua
Jika tidak dijangkiti COVID-19, penyanyi Indonesia, Ari Lasso mungkin tidak tahu dia sebenarnya memiliki tumor di bahagian limfanya.
Bekas penyanyi utama kumpulan Dewa 19 itu mengesan kanser terbabit apabila berlaku keradangan selepas kerap melakukan senaman fizikal.
"Saya sangat bersyukur terkena COVID-19. Kalau saya tak dijangkiti COVID-19, saya tak mungkin akan mula bersenam dengan lebih kerap.
"Disebabkan aktiviti itu, radang dalam badan saya mengalami kesakitan pada 4 Ogos lalu," katanya kepada media Indonesia.
Difahamkan Ari, 48, menghidap kanser limfoma tahap dua dan didiagnosis sebagai Diffuse large B-cell lymphoma (DLBCL) yang jarang berlaku dalam kalangan pesakit kanser.
Kanser itu dikesan apabila Ari mengadu sakit perut melampau dan doktor mendapati terdapat ketumbuhan pada kelenjar limfanya.
Ari sendiri tidak mengetahui bagaimana tumor itu berada dalam tubuhnya memandangkan dia mengamalkan pemakanan dan pemeriksaan kesihatan selama ini.
"Tumor boleh menyerang tanpa diduga. Sentiasalah periksa kesihatan dan bersenam selalu. Pantau juga bahagian anggota badan yang diserang dengan kesakitan luar biasa," ujarnya.
Penyanyi itu sudah menjalani pembedahan membuang tumor pada 20 Ogos lalu dan keadaannya dilaporkan beransur baik.
Bagaimanapun, Ari perlu terus menjalani rawatan kimoterapi sekurang-kurangnya selama tiga bulan di Singapura nanti.
Sumber: Kapan Lagi, Kompas
Must-Watch Video