Pelakon prolifik, Beto Kusyairy mendedahkan dia terpaksa bermandi darah demi menghidupkan watak Zarul dalam telefilem terbaharu, Pemuja Kubur.

Dalam babak berkenaan, Beto yang melakonkan watak seorang tahi judi perlu menggali kubur demi mendapatkan apa yang dihajati termasuk menang judi.

"Tak seronok mandi darah, tambah pula di awal pagi dan waktu Subuh, dengan penat, mengantuk dan kejar sahur.Tapi babak itu harus dilunaskan dan kita tak nak delay apa-apa, jadi kena buat habiskan juga.

"Penggambaran dilakukan di kawasan perkuburan betul cuma lubang kubur gali baru. Ada pengalaman lain sebenarnya apabila saya terjatuh ke dalam lubang kubur yang baru digali disebabkan kawasan gelap.

"Saya tak nampak apa-apa tapi mujurlah tak ada kecederaan pun," kata Beto kepada Gempak.

Beto bersyukur sepanjang penggambaran Pemuja Kubur pada Ramadan baru-baru ini tidak berdepan sebarang gangguan mistik.

"Alhamdulillah tak ada terima gangguan mistik, mungkin sebab shoot bulan puasa dan tak buat benda tak elok," ujarnya.

Terdahulu, tular video Beto bersama sosok wanita berpakaian serba putih dengan muka yang hodoh di atas bot seperti yang dikongsikan di Instagramnya.



Video terbabit mendapat pelbagai reaksi seram dan teruja untuk menantikan kemunculan Beto dalam genre seram.

"Memang betul, itu salah satu babak dalam Pemuja Kubur. Sepanjang penggambaran bulan puasa dan waktu pandemik, lebih memenatkan apabila cerita bergenre begini menuntut emosi dan fizikal.

"Tambah pula tak boleh nak makan minum, kena jaga puasa dan cerita begini latar masa shoot waktu malam. Jadi tak cukup rehat dan bersahur di set. Ada masa kami bersahur dan azan Subuh di set penggambaran," tambahnya.

Pemuja Kubur turut dibintangi Aedy Ashraf dan Kaka Azraff.

A post shared by Bambam Studios (@bambam_studios)


Telefilem ini akan ditayangkan pada Sabtu, 6 Jun 2021 pukul 9 malam di saluran Astro Citra.

Anda juga boleh strim OnDemand menerusi aplikasi Astro GO, Astro PVR Box atau Ultra Box!