Skip to main content

Foodies Life

Rendang, Sate, Ayam Percik, Bingka Ubi Tawan Washington, Makanan Malaysia Curi Tumpuan Di Bank Dunia

Rendang, Sate, Ayam Percik, Bingka Ubi Tawan Washington, Makanan Malaysia Curi Tumpuan Di Bank Dunia

Sekilas

  • Masakan Malaysia dipersembahkan di Ibu Pejabat Bank Dunia, Washington, melalui program Malaysia Cultural and Food Celebration yang berlangsung selama dua hari.
  • Chef jemputan Malaysia, Nani Yusof Hughie, bersama pasukan kulinari Bank Dunia menyediakan hidangan tradisional seperti rendang, sate, ayam percik dan kuih tradisional dengan rasa autentik.
  • Program ini bertujuan mempromosikan budaya dan identiti Malaysia kepada komuniti antarabangsa melalui makanan sebagai medium perpaduan dan pertukaran budaya.
Advertisement

Masakan Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa apabila Ibu Pejabat Bank Dunia baru-baru ini menjadi pentas memperkenalkan kekayaan warisan kulinari negara menerusi program Malaysia Cultural and Food Celebration.

Program yang berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 September lalu menghimpunkan komuniti antarabangsa di Washington untuk menikmati pelbagai hidangan tradisi Malaysia yang disediakan secara profesional dalam persekitaran dapur berskala besar.

Advertisement

Mengetuai usaha memperkenalkan cita rasa Malaysia ialah wartawan dan chef kelahiran Pulau Pinang, Nani Yusof Hughie yang dijemput sebagai Cef Jemputan Malaysia. 

Nani bekerjasama dengan Cef Eksekutif Bank Dunia, Nicholas Cavaretta dan Senior Sous Cef, Riazur Rahaman.

Antara hidangan yang diketengahkan termasuk rendang daging, sate ayam bersama kuah kacang, ayam percik, ayam goreng berempah, sambal udang, acar Nyonya, sayur lodeh, sagu gula Melaka, bingka ubi kayu dan seri muka.

Advertisement

Nani berkata, pengalaman tersebut bukan sekadar menyediakan makanan, tetapi membawa bersama identiti, budaya dan kenangan rakyat Malaysia ke meja dunia.

“Sebagai wartawan, saya bercerita melalui kata-kata. Sebagai cef pula, saya menyampaikan cerita melalui makanan.

“Apabila seseorang menjemput anda mewakili negara melalui makanan, anda bukan sekadar membawa resipi ke dapur. Anda membawa memori, keluarga, budaya dan sebahagian daripada Malaysia,” katanya.

Nani juga turut bekerjasama rapat dengan pasukan kulinari Restaurant Associates, penyedia perkhidmatan makanan yang mengurus operasi makan minum dan katering acara di Bank Dunia, bagi memastikan setiap hidangan mengekalkan rasa autentik Malaysia meskipun disediakan dalam suasana dapur institusi bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, Cavaretta menyifatkan kerjasama tersebut sebagai pengalaman berharga dalam memperkenalkan masakan Malaysia kepada khalayak global.

“Masakan Malaysia mempunyai banyak lapisan rasa. Untuk menghidupkan cita rasanya dalam dapur profesional pada skala sebegini memerlukan kerjasama, kepercayaan dan kesediaan memperhalusi setiap perincian.

“Nani membawa pengetahuan, pengalaman dan semangat yang tinggi terhadap masakan Malaysia, dan bersama-sama kami berjaya menjayakan sambutan ini,” katanya.

Rahaman pula berkata, pengalaman menyediakan hidangan Malaysia memberikannya pemahaman lebih mendalam mengenai kepelbagaian dan kerumitan rasa yang terkandung dalam setiap masakan.

“Apa yang paling menonjol ialah keseimbangan rasa pedas, manis, masam dan berempah, selain aroma luar biasa daripada serai, lengkuas, santan dan cili.

“Sebagai cef bukan warga Malaysia, saya mahu menghormati tradisi di sebalik setiap hidangan sambil memahami keistimewaannya,” katanya.

Bagi Nani, makanan Malaysia merupakan satu kisah mengenai kepelbagaian budaya yang tidak memerlukan penerangan panjang untuk difahami.

“Masakan Malaysia menceritakan sesuatu tentang negara ini tanpa perlu berucap panjang. Kita boleh merasai sejarah dan kepelbagaian melalui setiap suapan,” katanya.

Dilahirkan dan dibesarkan di George Town, Pulau Pinang, Nani mempunyai latar belakang unik yang menggabungkan dunia kewartawanan dan kulinari.

Nani pernah menubuhkan restoran Mamak Malaysia di Flushing, Queens, New York pada 2013 yang diiktiraf dalam Panduan MICHELIN selain mendapat liputan media berprestij seperti The New York Times dan New York Magazine.

Selepas bertahun-tahun memberi tumpuan kepada kerjaya kewartawanan dan komunikasi di Washington, jemputan daripada Bank Dunia itu menandakan kemunculan semula beliau dalam dunia kulinari profesional.

Menurut Nani, peluang tersebut menjadi platform penting untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia melalui bahasa sejagat yang mampu merapatkan budaya dan masyarakat berbeza.

“Setiap hidangan menjadi jambatan kecil yang menghubungkan budaya. Kadangkala cara paling berkesan untuk memperkenalkan sesebuah negara adalah dengan menjemput orang ramai duduk bersama dan merasai makanannya,” katanya.

Program tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bank Dunia mempromosikan pertukaran budaya antara negara anggota melalui acara warisan dan sambutan kebudayaan, dengan makanan dijadikan medium memperkenalkan identiti, hospitaliti serta tradisi sesebuah negara kepada komuniti global.

Sumber: Awani

Anda mungkin berminat dengan

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

Must Watch Video

Advertisement