Berita

Biar Mereka Cemburu, Sebuah Lagi Komedi Romantik Hebat Mengisi Slot Megadrama

gempak
Maliah Surip
01/12/2020
12:11 MYT
Sponsor Banner
Biar Mereka Cemburu, Sebuah Lagi Komedi Romantik Hebat Mengisi Slot Megadrama
Sebuah lagi drama bersiri hebat dibawakan Astro Ria dengan mengambil adaptasi dari judul novel sama karya Anuar Darwisy, Biar Mereka Cemburu siap membuat penonton melekat di hadapan televisyen bermula malam ini pukul 10 malam.
Biar Mereka Cemburu yang mengisi slot Megadrama buat pertama kalinya dengan episod perdana malam ini akan menampilkan gandingan pelakon Aiman Hakim Ridza bersama Nabila Razali dibantu barisan pelakon hebat lainnya.
Mengangkat genre komedi romantik terbitan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd., Biar Mereka Cemburu mengisahkan tentang Tengku Eidil yang merupakan pengarah kreatif di sebuah syarikat pengiklanan terkemuka dan sedang bercinta dengan Marsha Gordon.
Namun, detik hatinya untuk berubah ke arah ukhrawi membawanya jauh dari rancangan untuk berkahwin dengan Marsha. Nadia ialah seorang penghantar makanan untuk sebuah kedai makan yang dimiliki oleh kawan baiknya, Rostam. Dalam masa yang sama, Nadia turut menyimpan hasrat untuk bergelar jurufoto profesional.
Takdir menemukan mereka berdua apabila pada suatu petang semasa sedang menghantar makanan, Nadia berhenti di tepi jalan dan Eidil terlanggar lopak air lalu menyebabkan ia terkena pada Nadia tanpa sengaja.
Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal, pemilihan genre komedi romantik mempunyai rekod yang baik dalam slot Megadrama.
“Berdasarkan rekod cemerlang kandungan drama yang pernah ditayangkan menerusi slot Megadrama sebelum ini, drama bersiri yang mengangkat genre komedi romantik sering mendapat tempat di hati para peminat drama melayu tempatan.
"Sifirnya mudah, audiens kami gemarkan naratif penceritaan yang ringan tetapi padat dengan elemen ‘feel good’ dan mesej-mesej tersirat. Oleh itu, kami yakin naskah taruhan terbaharu menerusi ‘Biar Mereka Cemburu’ ini sekali lagi mampu membekaskan kesan yang mendalam kepada para penonton setia di saluran kami.
"Seperti yang kita tahu, telah banyak perkongsian menarik mengenai kisah penghantar makanan yang sering tular di media sosial. Malah, mereka turut dianggap sebagai pejuang barisan hadapan atau ‘frontliner’ yang bertungkus-lumus menyumbang bakti kepada masyarakat terutamanya ketika musim Covid-19.
"Watak penghantar makanan juga dilihat cukup dekat dengan masyarakat zaman sekarang kerana perkhidmatan tersebut tidak asing lagi serta sudah menjadi trend gaya hidup bagi memudahkan, menjimatkan masa dan mengurangkan bebanan tugas seharian.
"Justeru, keputusan untuk menukar watak asal gadis konduktor bas seperti di dalam novel kepada penghantar makanan untuk disesuaikan dengan keseluruhan jalan cerita adalah tepat pada masanya sekaligus memberikan suntikan segar untuk tatapan penonton. Selamat menonton dan semoga terhibur," ujar Ema.
Drama 16 episod arahan sutradara handalan MP Roslin Md Sharif ini turut menampilkan Dato’ Zaiton Muhd Jiwa selaku penerbit serta barisan penulis skrip yang terdiri daripada Abdul Adzim Shahabudin, Ayuni Zamani dan Baizurah Kahar.
Biar Mereka Cemburu bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 1 Disember 2020 menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform iQIYI untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Barisan Pelakon Biar Mereka Cemburu
Aiman Hakim Ridza sebagai TENGKU EIDIL Nabila Razali sebagai NADIA Izzat Mushtaq sebagai ROSTAM Rubini Sambanthan sebagai MARSHA GORDON Aedy Ashraf sebagai FETRI Dato’ Shah Rezza sebagai TENGKU ALAUDDIN Mas Anizan sebagai ENGKU ZULAIKHA Bella Dowanna sebagai NABILA Hasmira Azmi sebagai SOFEA Syahir Shafein sebagai REZA Adam Malek sebagai NABIL
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024