Penyanyi Ernie Zakri memohon semua peminat untuk mendoakan kesihatannya berada di tahap terbaik untuk pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-35 yang akan berlangsung pada hari Ahad ini.

Menerusi laman sosial Instagram, Ernie yang sedang menjalani penggambaran drama memaklumkan suaranya berada dalam keadaan yang baik cuma memerlukan rehat yang mencukupi.

“Buat yang bertanya tentang kesihatan saya, alhamdulillah okay. Biasalah suara ni kalau tak cukup rehat, kalau kita berlakon pun ada scene yang kena jerit-jerit, normal la dia akan effect sikit.

“Tapi alhamdulillah saya dah pergi check dan doakan kesihatan saya. Hari ni saya last shooting tapi ada lagi sambungan. Esok insyallah saya dah mula fokus untuk AJL, doakan saya semuanya,” ujarnya menerusi ruangan IG story.

Difahamkan Ernie kini sedang menjalani penggambaran drama Kalau Dah Berbini untuk saluran Astro Warna yang turut dibintangi tunangnya penyanyi Syamel, Ozlynn Wati, Joey Daud dan ramai lagi.

Pada pentas akhir AJL35 yang akan diadakan di Auditorium MBSA tanpa kehadiran penonton, Ernie bakal mempersembahkan lagu Gundah hasil ciptaan dirinya sendiri bersama Sharon Paul.

Antara 11 lagu lain yang layak ke pentas AJL35 adalah Semalam nyanyian Aina Abdul, Hutang (Floor 88), Eh (Zizi Kirana) dan banyak lagi.