Sekilas
- Isteri MK K-Clique, Siti Hajaar, tampil bersuara mempertahankan suaminya susulan tuntutan royalti oleh bekas anggota K-Clique, Tuju.
- Siti Hajaar menegaskan suaminya memilih untuk diam demi menjaga maruah dan persahabatan, serta menasihati orang ramai supaya tidak mudah menghukum tanpa bukti.
- Tuju sebelum ini memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang berhubung isu royalti lagu ciptaannya yang didakwa tertunggak sejak lebih empat tahun lalu.
Isteri kepada penyanyi rap, MK K-Clique iaitu Siti Hajaar tampil bersuara susulan kenyataan bekas anggota kumpulan K-Clique, Tuju yang menuntu bayaran royalti yang didakwa tidak diterima sejak lebih empat tahun lalu.
Menerusi di TikTok, pemilik nama Siti Hajaar Syeikh Nordin ini berkata dia pada awalnya tidak berniat untuk mencampuri urusan terzebut, namun mengakui terkilan apabila membaca komen yang mendakwa suaminya bersama rakan-rakan mengambil hak orang lain.
“Assalamualaikum. Saya sebenarnya tidak berniat untuk mencampuri urusan sesiapa, tapi hari ini saya ingin bersuara sedikit.
“Saya terbaca beberapa komen yang mengatakan suami saya dan sahabat sahabatnya mengambil hak orang lain.
“Walaupun suami saya sendiri tidak berkata apa-apa namun sebagai seorang isteri, saya tidak dapat menafikan bahawa ada sedikit rasa terkilan bila membaca tuduhan sedemikian sampai melibatkan ‘isteri, anak & agama’,” tulisnya.
Menurut Siti Hajaar, keputusan MK untuk tidak mengulas isu berkenaan hanyalah kerana tidak mahu memanjangkan perkara yang tidak sepatutnha.
“Ada cerita yang suami saya simpan bukan kerana takut, tetapi kerana dia masih menghormati hubungan dan persahabatan yang pernah wujud.
“Kadangkala, diam itu bukan tanda mengalah. Ia adalah pilihan untuk menjaga maruah, mengelakkan perkara menjadi lebih buruk dan tidak membuka aib sesiapa,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Siti Hajaar mengakui dia seakan tidak mengerti dengan segelintir pihak yang dilihat sewenang-wenangnya membuat kesimpulan hanya berdasarkan cerita daripada satu pihak.
Ujar anak tiri kepada pelakon Datin Seri Noniswara ini, orang ramai seharusnya lebih berhati-hati sebelum menghukum kerana ia boleh menjejaskan reputasi individu terbabit.
“Jika benar suami saya dan sahabat sahabatnya mengambil hak orang lain, tentu ada bukti yang boleh diperkatakan. Tapi, tanpa bukti dan tanpa mengetahui keseluruhan cerita, dengan mudahnya seseorang dijatuhkan hanya melalui kata-kata, kecaman, hinaan dan sebagainya.
“Kita semua manusia. Sebelum menghukum, selidiklah terlebih dahulu. Jangan terlalu mudah mempercayai satu sisi cerita sehingga kita tanpa sedar menjadi penyumbang kepada fitnah dan kerosakan reputasi seseorang,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia turut berharap orang ramai lebih menjaga pertuturan kerana kata-kata yang dilemparkan mungkin meninggalkan kesan mendalam terhadap individu yang menjadi sasaran.
Sebelum ini, Tuju menerusi hantaran di Threads memberi gambaran bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap K-Clique berhubung isu royaliti lagu ciptaannya yang didakwa masih tertunggak.
Malah dia juga memuat naik bukti menunjukkan hantaran mesej yang sudah dihantar kepada anggota kumpulan berkenaan namun tiada balasan sejak 1 Jun lalu.
Pada akhir 2022, timbul spekulasi mengenai tindakan Tuju meninggalkan K-Clique, namun penyanyi rap itu memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai tindakan itu.
Selepas hampir dua tahun, Tuju akhirnya menjelaskan keputusan untuk bergerak solo dibuat atas kehendaknya sendiri.
Selain Tuju dan FareedPF, K-Clique turut dianggotai MK, Noki, Somean, KDeaf, Gnello dan NastyNas.
Sumber: TikTok