Laman Utama
Big Stage 2022: Kalau Ikut Markah Dari Juri Sahaja, Aisha Retno Adalah Naib Juara, Tapi…
Sepanjang penganjuran Big Stage 2022, penyanyi Aisha Retno boleh dianggap sebagai salah seorang peserta favourite dalam kalangan penonton. Selain mempunyai vokal yang menarik, Aisha juga kreatif dalam membuat persembahan.
Sungguhpun hal-hal itu berjaya memenangi hati juri dan menjadikan dia sebagai peserta teratas dengan markah kedua tertinggi malam semalam, namun, Aisha gagal meraih sokongan peminat menerusi undian online.
Menurut Aisha, dia tidak kecewa dengan keputusan, malah mengakui bersyukur sudah sampai ke final dan meraih tempat ketiga dalam Big Stage 2022.
“Jujurnya, kecewa tiada dalam kamu diri. Saya dah buat yang terbaik dan pesaingan juga sengit. Cuma undian online agak rendah dan saya perasan dari minggu pertama lagi. Apa pun saya bersyukur sebab bukan mudah untuk menjalani Big Stage minggu ke minggu,” katanya kepada Gempak.
Menurut Aisha, kebarangkalian menjadi ‘kurang dikenali’ dalam kalangan netizen mungkin terjadi kerana orang ramai belum cukup tahu dengan dirinya sebagai penyanyi.
“Tak sure kenapa tapi dari segi followers pun saya antara yang terendah. Mungkin orang baru kenal saya di Big Stage dan mungkin juga peserta lain sudah mempunyai fanbase yang kuat sebelum ini.
“Tapi saya tidak sia-siakan segalanya. Saya harap dengan adanya saya dalam Big Stage, ia dapat beritahu keberadaan saya dalam muzik industri, insya-Allah,” katanya.
Diumumkan sebagai peserta yang menduduki tempat ketiga, Aisha membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000 beserta trofi.
Selain Aisha, tempat pertama diberikan kepada Elica Paujin, manakala naib juara pula diberikan kepada Danial Chuer. Sementara tempat keempat dan kelima diisi oleh penyanyi Yazmin Aziz dan juga Tegar Septian.
Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad, penerbitan Big Stage 2022 turut disokong oleh CUCKOO dan OPPO selaku Penaja Utama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Radio Rasmi.
Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Must-Watch Video