Penyanyi Tuah Adzmi menjadi bintang Big Stage 2022 ketiga yang tersingkir pada konsert minggu keempat yang bersiaran secara langsung pada Ahad.

Tuah mendapat markah sebanyak 62.6% gagal meneruskan perjuangan pada minggu kelima yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.

Tuah yang menyanyikan lagu Malam Semakin Dingin gagal memuaskan hati juri.

Mengimbas semula komen juri pedas untuk persembahan Tuah, kata Datuk Syafinaz penyanyi itu gagal memberikan kelainan dan keunikan dalam persembahannya.

"Keseluruhan tak best! Cari sendiri kesalahan dalam nyanyian," kata Syafinaz.

Aisha Retno pula menjadi bintang yang menjuarai konsert mingguan keempat dengan markah sebanyak 89.6%.

Manakala, Syafiq Abdillah memenangi Vokal Paling Padu dan menerima periuk bertekanan tinggi Cuckoo CH10 bernilai RM2,700.

Berikut merupakan jumlah markah yang diterima oleh setiap peserta:
  1. Aisha 89.6
  2. Elica 85.8
  3. Daniel 80.2
  4. Syafiq 74.6
  5. Ajoi 67
  6. Yazmin 66.6
  7. Tegar 63.2
  8. Tuah 62.6
  9. Megat 54.4

Bagi menyuntik pembaharuan segar agar, buat pertama kalinya proses pemberian markah oleh panel juri akan dibuat secara langsung atau ‘live marking’ yang mana setiap pemarkahan akan tertera di skrin LED untuk tontonan umum.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjurikan Big Stage 2022 bersama komposer terkenal, Ajai dengan juri juara undangan ialah Aliff Aziz.

Manakala kerusi juri pedas dan presiden netizen pula masih diisi oleh penyanyi Datuk Syafinaz Selamat dan usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida pada minggu ini.

Dihoskan oleh Alif Satar dan Elly Mazlein, tugasan mengacara bagi kapsul Studio Big Stage pula disandang oleh Isha Norsham.

Sementara itu, personaliti ERA, Muna Bella dan Haiqal dari Thinker Studios pula digandingkan sebagai pengacara untuk program Big Stage Live Plus yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Penerbitan Big Stage 2022 turut disokong oleh CUCKOO dan OPPO selaku Penaja Utama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Radio Rasmi.

Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.

Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

9 peserta yang bertanding untuk minggu seterusnya ialah Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Megat Rahim, Sofiaa Marieylla, Tegar Septian, Syafiq Abdilah dan Ajoi Zainal.

Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018). Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019). Manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).