Mungkin tulisan sebegini tidak dapat mengungkap ucapan terima kasih kepada wanita bernama Nur Amalina Che Bakri ini. Sebenarnya saya sudah lama ingin menulis tentang Dr. Amalina, tapi belum berkesempatan.

Dia pernah menjadi bualan hangat 15 tahun lalu apabila mendapat pencapaian yang sungguh cemerlang dalam SPM. Saya masih ingat pada ketika itu, betapa 'popular'nya Dr. Amalina sehingga dia turut diambil berlakon dalam satu iklan di kaca televisyen.



Menyambung pelajaran di United Kingdom tidak membuatkan Dr. Amalina terlepas daripada cerita-cerita yang tersebar di Malaysia. Maklumlah segelintir orang kita ni mana boleh dengar gosip, kena tambah-tambah cerita. Baru sedap!



Pengenalan kepada sosial media dengan kemunculan blog-blog tiba-tiba menambah khabar angin tentang wanita ini yang ketika itu sedang menyambung pelajaran. Kontroversi yang mengatakan dia menjadi liar dan gagal dalam peperiksaan mula bertebaran.

Bayangkan sampai satu ketika, kisah Amalina turut dibincangkan di parlimen! Kenapa? Hanya kerana gambar Amalina yang tidak bertudung mula tersebar dan diambil di Facebook. Warnakan rambut terus jadi liar? Pakai jeans terus gagal peperiksaan? Ya, fikiran orang Melayu kita.



Wanita ini tidak pernah memandang ke belakang. Walaupun mungkin ada kata-kata yang mengguris perasaannya, tetapi dia tetap berusaha membuktikan (bukan untuk orang lain) yang dia semangnya dikurniakan Tuhan akal fikiran yang cemerlang untuk berjaya.

Media sosial menjadi tempat Dr. Amalina berkongsi cerita, pengalaman dan bermacam-macam kisah sama ada peribadi atau pun tentang pelajaran. Dia tidak kedekut ilmu, dan cuba membantu orang lain dengan ilmu yang dipelajarinya.



Ramai anak-anak muda yang mengikuti jurusan yang sama, yang mempunyai cita-cita yang sama mengikuti dia di alam maya. Sama ada di Twitter atau di Instagram, Dr. Amalina tidak pernah sunyi daripada memberikan pendapat, pandangan dan ilmu.

Tapi biasalah, bukannya semua orang senang melihat anak Malaysia ini membantu orang lain. Ada sahaja benda yang tidak kena dicarinya. Dituduh tidak fasih berbahasa Melayu, berpakai seksi dan macam-macam lagi pasti sedikit tidak melukai hatinya.



Pada awal tahun ini, Dr. Amalina mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada media sosial Twitternya. Katanya mahu fokus kepada urusan pembelajaran dan latihannya sebagai pakar bedah.

Pada masa yang sama, dia juga meluahkan rasa terkilan kerana segelintir rakyat Malaysia masih belum bersedia dengan perkongsiannya. Menurut Dr. Amalina, terlalu banyak komen negatif serta 'kebencian' walaupun ketika orang lain cuba melakukan kebaikan.



Namun wanita yang penuh keteguhan diri ini kembali menghangatkan media sosial apabila dia memulakan inisiatif untuk membawakan adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin untuk menjalani pembedahan di London.

Meriah kembali namanya disebut-sebut ramai. Alhamdulillah, ramai sudah nampak kemuliaan hati insan bernama Nur Amalina ini. Bukan pujian yang dicari, tetapi niat ingin membantu dan mengaplikasikan apa yang dipelajarinya.

Kita semua boleh belajar untuk tidak cepat menjatuhkan hukuman kepada sesiapa. Apatah lagi kita juga hanya insan biasa yang tidak akan lepas daripada melakukan kesalahan. Hanya Dia sebagai Pencipta berhak menilai.



Betul, kita boleh nasihat menasihati tetapi cara menasihatpun perlu dijaga. Kerana kita semua tidak tahu apa pengakhiran kita sebenarnya.

Saya sangat menghormati dan berterima kasih dengan apa yang dilakukan oleh Dr. Amalina. Menggunakan pengaruh yang dia ada untuk kebaikan, menyebarkan rasa positif sesama insan dan berkongsi ilmu yang dipelajarinya untuk memartabatkan anak-anak muda kita.

Terima kasih Dr. Amalina. Teruskan baktimu.

Jumpa Lagi!

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Instagram

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.