Pelakon Naim Daniel menjelaskan wataknya dalam telemovie Amshar Bukan Asha tidak menyamai siri drama popular, Sutun.

Sebaliknya kata Naim, kedua-dua naskhah itu mempunyai jalan cerita yang berbeza.

“Sudah tentu Sutun dengan Amshar Bukan Asha adalah dua benda berbeza. One thing yang saya diberi kata dua dekat sini adalah memang keduanya cerita berbeza.

“Dari situ juga kita zahirkan daripada jalan ceritanya sendiri di mana bila orang tengok mereka akan kata bukan Sutun.

“Insya-Allah sebab kita mencuba sahaja, apa-apa pun nanti yang akan memberikan komentarnya adalah netizen. Jadi kita mengharapkan yang terbaik sahaja,” katanya sewaktu ditemu bual secara virtual.

Amshar Bukan Asha dibintangi oleh merupakan Naim Daniel, Farah Ahmad, Syazwan Zulkifly, Haidar Hasanudin, Emma Sofea, Sahronizam Noor dan Raff Roslee.

Telemovie ini akan ditayangkan pada hari Ahad, 10 Julai 2022, jam 10.00 pagi secara eksklusif di saluran Astro Ria (104).

Amshar Bukan Asha juga boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang fleksibel.

Sinopsis:

Amshar Bukan Asha mengisahkan tentang kehidupan seorang remaja yang diberi nama timangan Asha.

Asmah, ibu kepada Asha amat menyayanginya dan sejak kecil Asmah lebih senang melihat anaknya berperwatakan lembut dan sopan.

Setiap pemakaian anaknya ditentukan mengikut kemahuannya dari hujung rambut ke hujung kaki. Asha hanya menuruti sahaja permintaan ibunya.

Walaupun mengharungi pelbagai liku kehidupan, Asha tetap tabah menjadi dirinya dan menjaga hati ibunya sebaik mungkin kerana dia amat menyayanginya.

Namun, perwatakan lembut Asha itu bukanlah dirinya yang sebenar. Asha berperwatakan lembut seperti itu kerana diasuh ibunya sejak kecil lagi atas kebencian ibunya terhadap lelaki kerana pernah menjadi mangsa dera suaminya, iaitu ayah kepada Asha.