Penyanyi Billy atau nama sebenarnya Sheikh Ahmad Rabily Sheikh Abdul Rahman, 42, akui sudah bergerak solo dari kumpulan duo Billy Zulkarnain sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Billy keputusan itu diambil selepas dia dan rakan duo mempunyai komitmen yang berlainan, ia menjadi batu penghalang dan menimbulkan masalah bagi mereka berdua untuk selalu mengadakan perbincangan dan juga pertemuan bagi menetapkan hala tuju kumpulan.

“Saya mengambil keputusan untuk bergerak solo sejak April lalu iaitu selepas mulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya rasa Zulkarnain pun ada komitmen berlakon dan lain-lain dan saya juga ada hala tuju saya sendiri. Jadi saya lihat perjumpaan kami agak terhad dan sukar untuk berbincang dan sebagainya.

“Maka jalan yang terbaik perlu diambil ialah dengan merehatkan kumpulan tersebut seterusnya fokus dalam menentukan arah tuju masing-masing,” katanya.

Billy dihubungi oleh Astro Gempak selepas mengumumkan lagu single nyanyian solonya berjudul Cinta yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Billy teruja apabila lagu ciptaan sepenuhnya Cinta merupakan single solo pertamanya selepas dua dekad berada di dalam industri muzik tanah air.

“Lagu ini merupakan hasil titik peluh saya sendiri selaku penyanyi, penerbit, komposer dan penulis lirik sekaligus ia memberi persepektif berbeza dari sebelumnya.

“Saya amat teruja kerana ia lagu single solo pertama saya sebagai penyanyi sejak 20 tahun saya dalam industri ini.

“Idea untuk membuat lagu datang secara tidak disangka semasa musim PKP. Tak sangka juga saya boleh buat lagu, akhirnya ilham yang terpendam atau bakat yang tanpa disedari membuahkan hasil.

Sebelum tampil dengan kumpulan duo Billy Zulkarnain, Billy pernah menyertai kumpulan Phyne Ballerz.

Bakat Billy juga mula digilap selepas memenangi anugerah penyanyi solo terbaik dalam pertandingan Levis Search 2000