Berita
“Boleh Ajak Saya Tengok Wayang, Tapi Ayahanda Ikut Sekali,”- Uji Sissy Iman Pada Teman Lelaki
Penyanyi Sissy Iman mendedahkan dia akan membawa bapa dan keluarganya bersama untuk pertama kali temu janji dengan lelaki yang mahu cuba mendekatinya.
Sissy yang juga merupakan bekas bintang realiti Big Stage itu berkata ia hanya sebagai ujian untuk mengetahui sama ada lelaki tersebut boleh menerima keluarganya atau tidak.
“Ayahanda (bapa) memang akan sentiasa menemani saya ke mana saya pergi kerana ia perkara biasa sejak saya kecil lagi.
“Tapi tak bermakna dia mengawal semua pergerakan serta dengan siapa saya berkawan.
“Dia sekadar memberi nasihat serta guideline, selebihnya terpulang kepada saya untuk memilih jalan saya sendiri.
“Ayahanda juga tidak menghalang saya berkawan dengan mana-mana lelaki tetapi biasanya saya akan bawa berjumpa keluarga untuk diperkenalkan terlebih dahulu.
“Saya juga akan menguji mereka bila setiap kali temu janji pertama, sebagai contoh saya akan beritahu ‘Boleh ajak saya tengok wayang tapi Ayahanda akan ikut sekali’.
“Jika ujian pertama itu pass maknanya mereka boleh menerima keluarga saya dan hubungan itu akan lebih mudah,” katanya kepada Gempak.
Sissy ditemui ketika pelancaran single terbaharunya berjudul Pesanan Ayahanda di Warner Music Sdn Bhd, Petaling Jaya, pada Khamis.
Pesanan Ayahanda merupakan lagu ciptaannya gabungan bersama komposer Faizal Tahir, Ezra Kong, Mike Chan dan Romeo.
Dalam pada itu, mengulas mengenai single terbaharunya, Sissy memberitahu lagu itu amat istimewa buatnya kerana ia ditujukan khas buat bapanya serta bapa-bapa di luar sana.
“Sebenarnya saya sudah simpan lagu ini agak lama dan memang cita-cita saya nak hasilkan sebuah lagu untuk bapa.
“Lagipun kita lihat tak banyak lagu khas untuk bapa berbanding ibu, jadi saya cuba lakukan kelainan,” luahnya.
Must-Watch Video