Pelakon hebat Zahiril Adzim mengakui seronok membawakan watak sebagai Rudi, seorang ustaz yang juga penunggang agama dalam drama bersiri terbaharu Scammer 2.

Menurut Zahiril, ini pertama kali dia membawakan karakter seumpama itu yang menuntut dirinya boleh menjadi baik dan jahat pada masa yang sama.

“Saya tak pernah lagi membawakan watak macam ni, kita simpulkan ustaz Rudi ni satu karakter penunggang agama. Apa yang saya suka dengan watak ni, ia sangat baru pada saya.

“Apa yang seronoknya dengan watak ni, sebahagian daripada Rudi ni menyampaikan mesej-mesej agama. Jadi mesej-mesej yang disampaikan ni adalah daripada gabungan skrip dan ayat saya sendiri.

“Memang saya nak penonton dengar, apa yang dakwah yang dia sampaikan tu mengikut ajaran Islam. Rudi ni pula scammer, apa yang dia cakap tu orang percaya. Cuma bila di belakang, karakter Rudi ni jahat.

“Saya rasa seronok di situ. Saya boleh jadi baik, berdakwah dan pada masa yang sama, jahat, tipu orang dalam satu karakter sahaja. Best sebenarnya watak Rudi ni,” ujar Zahiril kepada Gempak.

Dapat bergandingan kembali bersama sabahat baik, Beto Kusyairy dalam satu naskhah yang sama, suami kepada pelakon Shera Aiyob ini mengakui itu salah satu sebab dia menerima tawaran tersebut.

“Alhamdulillah, rezeki sekali lagi digandingkan bersama sahabat sendiri, Beto. Antara sebab saya terima berlakon dalam naskhah ini satu kerana jalan cerita, kedua kerana barisan pelakon dan ketiga adalah pasukan produksi yang baik.

“Mula bila saya nampak nama Beto, saya lega sebab saya tau saya boleh skip beberapa proses macam nak kenal, nak masuk kepala, keserasian.

“Jadi dengan Beto ni saya dah tahu dah sebab kami dah selalu bekerjasama, jadi saya tahu kerja saya akan lebih mudah,” ujarnya.

Scammers 2 mengisahkan Taqriz (lBeto Kusyairy) mahu menuntut bela atas kematian ayahnya, Cikgu Shah, yang menjadi mangsa fitnah dalam sebuah penjualan tanah di kampung.

Arwah Cikgu Shah dituduh menipu orang kampung dan mengaut semua duit jualan tanah. Rudi (Zahiril Adzim), kawan sekampung Taqriz tawarkan diri untuk membantunya tetapi Taqriz pula tidak percayakan sesiapa.

Sasaran Taqriz ialah Muna (Iman Corinne) pemilik syarikat hartanah dan Hanif (Azwan Ali), peguam yang dipercayai telah menipu pemilik tanah dan jadikan arwah ayah Taqriz, sebagai kambing hitam.

Siapakah yang bakal menjadi mangsa scammer kali ini? Siapa pula yang menunggang agma?

Saksikan drama bersiri Scammer 2 bermula 18 April pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11 malam di Astro Ria.