Sekilas
- Bella Astillah masih belum berpeluang berbulan madu dengan suaminya, Syed Saddiq, kerana menunggu urusan persidangan Parlimen selesai.
- Mereka kini sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan rumah baru dan memahami rutin serta kerjaya masing-masing.
- Bella dan Syed Saddiq berkahwin pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Sudah sebulan bergelar isteri kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, namun pelakon dan penyanyi, Bella Astillah masih belum berpeluang menikmati bulan madu bersama suaminya.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata, perancangan untuk berbulan madu hanya akan direalisasikan selepas suaminya selesai dengan urusan persidangan Parlimen.
Bagaimanapun, Bella mengakui enggan mendesak suaminya memandangkan masing-masing mempunyai komitmen tersendiri selain sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan di rumah baharu.
“Belum. Sebenarnya, perkara itu hanya akan dilakukan selepas YB selesai bersidang di Parlimen. Namun, saya tidaklah mendesak beliau. Saya faham dan saya juga sibuk sekarang.
“Maklumlah, kami sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan di rumah baharu. Ada banyak perkara lain yang jauh lebih penting dan sedang saya berikan perhatian. Bulan madu ini hanyalah satu bonus,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Bella mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari sepanjang menjalani kehidupan sebagai suami isteri, terutama dalam memahami rutin serta kerjaya masing-masing.
“Saya rasa ada beberapa perkara yang lebih selesa untuk saya simpan sendiri. Namun, sebenarnya lebih kepada kami yang masih dalam proses saling mengenali dan mempelajari kehidupan masing-masing.
“Sebelum ini, kami menjalani kehidupan secara berasingan. Sudah tentu, dari segi kerjaya juga, kami mempunyai bidang pekerjaan yang berbeza dan sedang berusaha untuk saling memahami,” katanya.
Untuk rekod, Bella mendirikan rumah tangga dengan Syed Saddiq pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.