VIRAL
"Boleh Pegang Telefon Ketika Solat, Asalkan Tak Ganggu Khusyuk" - Mufti Pulau Pinang
Perbuatan memegang telefon ketika solat bagi membaca surah yang belum dihafal adalah dibenarkan asalkan tidak mengganggu kekhusyukan.
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, para ulama menjelaskan membaca daripada mushaf termasuk menerusi telefon dibolehkan berdasarkan amalan sebahagian ‘salaf’ yang membaca daripada mushaf ketika solat.
Tetapi diingatkan untuk memegang telefon dengan satu tangan atau meletakkannya di tempat yang mudah dibaca adalah lebih baik daripada sering bergerak mengambil dan meletakkannya.
“Jadi, individu yang menggunakan telefon untuk membaca surah, solatnya tetap sah tanpa pergerakan banyak atau mengganggu khusyuk,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu yang tular di TikTok apabila seorang wanita membuat siaran langsung ketika menunaikan solat tarawih pada hari pertama Ramadan.
Menerusi video berkenaan, jelas kelihatan wanita terbabit memegang telefon di sebelah tangannya sehingga mengundang persoalan dalam kalangan masyarakat.
Mohd Sukki berkata, perbuatan membuat siaran langsung di media sosial ketika melaksanakan solat boleh mengganggu tumpuan ibadah hingga menyebabkan ia terbatal.
“Dalam Islam, khusyuk adalah elemen penting ketika menunaikan solat. Jika seseorang melakukan perbuatan yang mengganggu fokus solat, ini boleh menjejaskan kesempurnaan ibadah.
“Menurut pandangan Mazhab Syafie, sebarang perbuatan yang tidak berkaitan dengan solat dan mengganggu tumpuan boleh menyebabkan ibadah berkenaan terbatal,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai tindakan menanggalkan atau memakai semula cermin mata dalam solat pula, beliau berkata, ia tidak membatalkan jika pergerakan tidak melebihi tiga kali.
“Solat masih sah jika tiada pergerakan banyak dan tidak melibatkan interaksi dengan orang lain.
“Namun solat sambil bersiaran langsung boleh mengurangkan kekhusyukkan dan memberi kesan negatif kepada pemahaman masyarakat tentang adab dalam ibadah.
“Sebaiknya elakkan kerana solat adalah urusan peribadi antara hamba dengan ALLAH, bukan untuk tontonan umum,” katanya. -SINAR HARIAN
Must-Watch Video