Berita

Bosan, Keseorangan Punca Warga Emas Bersara, Berjudi Dalam Senyap - Pakar

gempak
Awani
13/07/2024
03:55 MYT
Sponsor Banner
Bosan, Keseorangan Punca Warga Emas Bersara, Berjudi Dalam Senyap - Pakar
Persaraan sering dianggap sebagai masa untuk berehat dan meluangkan masa untuk diri sendiri selepas bertahun-tahun bekerja keras.
Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan pesara, ia juga boleh membawa cabaran yang tak terjangka, misalnya kebosanan, kemurungan, rasa keseorangan atau tiada kawan dan, lebih buruk, ada antara mereka yang terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat dan memudaratkan emosi dan mental.
Salah satu aktiviti yang dilihat semakin berleluasa dan ketara kebelakangan ini ialah ketagihan berjudi, yang boleh membawa kesan yang sangat buruk kepada warga emas. Selaku golongan yang tidak diawasi, mempunyai wang hasil simpanan tua, pencen ataupun simpanan, warga tua dilihat terlibat dan menjadi mangsa ketagihan judi dalam diam.
Ini kerana aktiviti mereka hampir tidak dapat dikesan sehinggalah mereka mungkin terlibat dalam masalah depresi, tekanan, hutang, kehabisan wang atau tidak terjaga.
Walaupun judi adalah haram dalam kalangan orang Islam tetapi ekoran revolusi dan trend baharu, judi bukan sekadar bermain nombor ekor atau ayam sabung.
Daripada perjudian dalam talian, scam ala pelaburan dan pelbagai jenis judi di luar skop tradisional sudahpun menyusup masuk dan menarik golongan warga emas ini untuk terlibat sama.
Mereka dilihat sebagai sasaran utama kerana berduit dan mempunyai masa selain kebanyakan mereka tidak mempunyai sebarang bebanan.
Profesor Psikologi Kaunseling dan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Solace Asia, Dr. Prem Kumar Shanmugam menyelidiki isu ketagihan judi dalam kalangan pesara dan warga emas yang berlaku dalam senyap tetapi membawa impak yang memudaratkan mental, emosi dan material.
Menurut Dr. Prem, ketagihan judi ialah suatu dorongan untuk berjudi secara berterusan walaupun memiliki kesan-kesan negatif atau mempunyai dorongan untuk berhenti.
Meskipun, ia masih boleh diterima oleh segelintir masyarakat sebagai selamat khususnya bukan beragama Islam, tetapi obsesi terhadap tabiat ini boleh membawa kepada masalah yang serius.

“Warga emas yang sudah bersara amat terdedah kerana pendapatan boleh guna dan masa yang mereka miliki. Ini menjadi masalah apabila mereka tidak dapat berhenti malah hilang kehilangan sumber kewangan pula cuba diganti dengan berjudi,” kata Dr. Prem yang akui ia sebagai ketagihan yang tersembunyi sehingga isu kewangan menjadi jelas.

Tambahnya, ia berbeza dengan penyalahgunaan bahan (dadah, alkohol), yang boleh dikenal pasti melalui tanda fizikal seperti botol atau peralatan dadah, sebaliknya ketagihan judi hanya muncul apabila krisis kewangan atau kemurungan berlaku.
Ini kerana, warga emas sudah membina rutin sekitar perjudian, dan dengan peningkatan perjudian dalam talian, ia menjadi lebih sukar untuk dikesan.
Mereka mungkin mewujudkan corak berulang, seperti berjudi pada hari tertentu atau pada masa tertentu, yang boleh disembunyikan sebagai tabiat yang tidak berbahaya.
“Apabila warga emas semakin beralih kepada perjudian dalam talian, ketagihan menjadi lebih rumit dan lebih sukar untuk dikenal pasti. Sifat internet tanpa nama dan akses mudah ke tapak perjudian memburukkan lagi masalah, menjadikannya lebih mencabar bagi ahli keluarga untuk melihat tanda-tanda sehingga keadaan menjadi teruk,” ujarnya.

Mengapa isu kurang disedari?

Ketagihan dalam kalangan warga emas selalunya tidak dapat dikesan kerana beberapa faktor, termasuk kurangnya kesedaran dan sifat ketagihan tingkah laku yang tersembunyi.
Ramai pesara tidak mendapatkan bantuan kerana stigma yang dikaitkan dengan ketagihan dan masalah kesihatan mental, yang boleh membawa kepada kemerosotan keadaan mereka dari semasa ke semasa.
Tidak seperti ketagihan lain yang lebih ketara, perjudian tidak meninggalkan kesan fizikal, menjadikannya lebih mudah untuk kekal tersembunyi sehingga akibat yang lebih buruk timbul.
Persepsi masyarakat terhadap perjudian sebagai aktiviti yang tidak berbahaya atau remeh menyumbang lagi kepada pengawasan ini.

Pilihan Rawatan dan Pemulihan

Menurut Dr. Prem, terdapat tempat terhad untuk warga emas mendapatkan rawatan ekoran ketagihan judi. Kebanyakan hospital merawat gejala ketagihan dan bukannya isu asasnya.
Pusat rawatan ketagihan khusus, seperti yang ditawarkan oleh Solace Asia pula memerlukan kos, dan ramai warga emas tidak mempunyai akses kepada sumber ini.
Selain itu, terdapat kekurangan dasar atau program yang disasarkan untuk menangani ketagihan warga emas.
Oleh yang demikian, Dr. Prem menekankan bahawa pemulihan ketagihan judi hanya boleh dilakukan oleh komuniti dan masyarakat secara menyeluruh.
“Ini kerana beberapa pusat kendalian kerajaan menawarkan sokongan asas, rawatan komprehensif yang diperlukan untuk menangani ketagihan dan puncanya, namun selalunya tidak tersedia dalam lingkungan keberadaan atau tidak mampu dibayar,” ujar beliau.

Sokongan komuniti

Atas sebab ini, Dr. Prem menekankan bahawa komuniti memainkan peranan penting dalam menyokong pesara dan mencegah ketagihan judi ini.

Kemudahan hidup seperti aktiviti sosial, makanan yang baik, dan penjagaan perubatan boleh meningkatkan kualiti hidup warga emas.

“Kita tidak boleh membiarkan mereka kerana tua, sebaliknya kita kena cuba sediakan kehidupan yang lebih baik. Komuniti harus memupuk persekitaran di mana warga emas boleh melibatkan diri dalam aktiviti yang bermakna dan membentuk hubungan sosial yang kukuh.”
Dr. Prem percaya, dengan cara itu, kita dapat mengurangkan risiko ketagihan judi, khususnya dan masalah kesihatan mental dalam kalangan warga emas.
Beliau mengambil beberapa aktviti seperti yang dijalankan di negara membangun atau kawasan tertentu seperti malam tarian, sesi karaoke dan perhimpunan sosial boleh membantu memastikan pesara sentiasa aktif dan berhubung, mengurangkan perasaan pengasingan dan kebosanan.
Kemudahan hidup yang direka bentuk dengan efektif boleh menggalakkan interaksi sosial dan menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan yang profesional.
Dr. Prem turut menekankan kepentingan pengesanan awal dan campur tangan ahli keluarga.
“Ahli keluarga harus berwaspada tentang tanda-tanda ketagihan judi ini dan masalah kesihatan mental pada orang tua mereka yang tersayang. Perbualan biasa tentang aktiviti harian dan minat mereka boleh membawa kepada pelbagai pendedahan.
“Luangkan masa setiap hari, bercakap dengan mereka, tunjukkan kasih sayang, ia adalah pemulihan yang paling berkesan," ujarnya.
Sumber - AWANI
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live