Berita
Boss Mario Ditemui Selamat Di Wad Hospital, Akui Tertekan Fikir Bonus 22 Pekerjanya
Pempengaruh ‘Boss Mario’ yang dilaporkan hilang selepas keretanya ditemui di Pantai Klebang sejak Jumaat lalu ditemui selamat di dalam wad sebuah hospital swasta di Melaka Raya, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, Boss Mario atau nama sebenarnya Yew Boon Xiang, 30, mengaku melarikan diri kerana tertekan.
Katanya, penemuan pempengaruh itu disedari abangnya Yew Boon Teck, 31, selepas mengesan adiknya membuat tempahan perkhidmatan e-hailing ke pusat perubatan itu hari ini.
“Pihak polis dimaklumkan oleh abangnya yang mana lelaki itu dapat kesan adiknya ada membuat tempahan ke sebuah hospital swasta dan selepas menghubungi pusat perubatan itu, pihak hospital mengesahkan adiknya dimasukkan ke wad.
“Siasatan kemudian mendapati pemuda itu menghilangkan diri dan tinggal di rumah kosong terbiar di Klebang sejak Jumaat lalu rentetan tertekan menguruskan dua kedai telefon bimbitnya kerana mahu beri bonus kepada 22 pekerjanya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, katanya, keadaan peniaga kedai telefon bimbit itu dilaporkan stabil dan hanya perlu dimasukkan air ke dalam badan selain tiada unsur jenayah.
“Setakat ini orang yang hilang ini tidak ada apa-apa kecederaan serius dan kita sahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian ini,” tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan Mario di Pantai Klebang selepas keluar dari rumahnya di Semabok, kira-kira 3 pagi pagi Jumaat lalu.
Kereta jenis Honda City milik Mario ditemukan kira-kira pukul 6 petang hari sama diletakkan di kawasan Pantai Klebang dalam keadaan berkunci.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video