Berita
Buat ‘Comeback’, Senario Kini Mahu Dikenali Sebagai Senariounion
Kumpulan pelawak yang pernah popular pada tahun 90-an, Senario kini mahu dikenali dengan Senariounion.
Salah seorang anggotanya, Saiful Apek memberitahu Senariounion merupakan nama yang digunakan untuk enam ahli itu membuat ‘comeback’.
“Sebenarnya pada tahun 2009 lagi iaitu selepas kami tidak terikat dengan salah sebuah stesen televisyen, kami terus bergerak aktif bersama memenuhi undangan pelbagai acara.
“Jadi kami fikir untuk buat ‘comeback’ kami menggunakan nama Senariounion dan menghasilkan sebuah album.
“Setakat ini kami sempat merakaman empat buah lagu dalam album tersebut,” katanya kepada Gempak.
Senariounion kini dianggotai oleh Hamdan, Wahid, Ilya, Yassin dan Azlee.
Apabila ditanya mengenai seorang lagi anggota Senario sebelum ini iaitu Lan Pet Pet, Saiful memberitahu Lan tidak dapat menyertai kerana komitmen lain.
“Sebenarnya ramai juga tanya ke mana hilangnya Lan Pet Pet. Lan tidak dapat bersama biasanya kerana dia mempunyai komitmen lain seperti perniagaan dan sebagainya.
“Sudah banyak kali juga dia bersetuju untuk menyertai kami tetapi pada saat akhir ia terdapat perlanggaran tarikh dengan komitmen kerjanya yang lain.
“Jadi buat masa sekarang, hanya kami berenam sahaja,” jelasnya lagi.
Bercakap mengenai perkembangan Senariounion, Saiful memberitahu mereka dalam perancangan untuk muncul dengan filem arahan Aziz M. Osman.
“Peracangan lain selain menyiapkan album kami, lain-lain akan menyusl mungkin ada sitkom, konsert dan sebagainya.
“Terbaharu, kami juga ada perancangan untuk muncul dengan sebuah filem bersama pengarah Aziz M. Osman tetapi semuanya masih peringkat awal,”katanya lagi.
Senariounion bakal muncul dalam program Raya Style Kita pada Hari Raya kedua di TV2 RTM yang mana mereka bakal mempersembahkan dua buah lagu serta persembahan sketsa.
Saiful dan Azlee juga bakal muncul dalam Syif Malam buat pertama kalinya ditayangkan terus di pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480 bermula 21 Mei 2020.
Selain Saiful dan Azlee, Syif Malam Raya turut menampilkan bintang sosial media iaitu Yoe Parey, Asif Suhaimi dan Syahmi Sazly serta barisan pelawak seperti kumpulan Zero iaitu Atu, Sharif dan Syaiful, Danial Lawak Solo, Ropie, dan juga aktres Reen Rahim, Emelda Rosemila, Nadia Brian, Lia Natalia serta Shiela Mambo.
Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton Syif Malam Raya selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Must-Watch Video