BERITA
Buat Hantaran Video Lucah, ‘Miza Ozawa’ Didenda RM14,000
Seorang pembantu kedai pakaian didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen, Sepang pada Isnin selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi video lucah menerusi perkhidmatan aplikasi Twitter, tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Siti Amiza Baharuddin, 28, selepas wanita itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mahkamah turut memerintahkan ibu kepada seorang anak itu menjalani hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda tersebut.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Ahmad Fuad menasihati Siti Amiza supaya insaf dengan perbuatan dilakukannya dan menjadikan ia sebagai satu pengajaran.
“Orang Kena Saman melakukan komunikasi untuk tujuan komersial, namun cara kamu buat sifatnya tidak kena dengan kesopanan masyarakat kita.
“Jadi undang-undang dirangka sebegitu rupa supaya memelihara moral masyarakat kita dan supaya jangan ada komunikasi seperti ini,” katanya.
Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan, Siti Amiza secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang lucah sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa MCMC, Nadzirah Idris, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Hafiz A. Bakar.
Sebelum ini pada 24 Jun 2024, Siti Amiza pernah dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi atas kesalahan mencari langganan bagi maksud persundalan menerusi aplikasi Telegram atas nama ‘Miza Ozawa’.
Sumber: Kosmo! Online
Must-Watch Video