TERKINI
“Buat Lagu Demi Viral? Itu Menipu Pendengar” - Alyph Akui Tiada Formula Khas Untuk Lagu Viral
Penyanyi rap, Alyph, berpendapat pengkarya muzik tidak sepatutnya menjadikan tular sebagai matlamat utama dalam penghasilan lagu.
Alyph atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdullah, 33, berkata pendengar muzik masa kini sudah cukup matang untuk menilai sesebuah karya, dan terpulang kepada mereka sama ada mahu menjadikannya lagu tersebut tular atau sebaliknya.
“Sebagai seorang artis, tular bukan dalam kawalan kita. Ia terletak di tangan pendengar, sama ada mereka menerima sesebuah lagu atau tidak.
“Saya sendiri tidak mempunyai formula khusus walaupun beberapa lagu saya seperti Swipe dan Dari Jauh pernah tular. Lagu-lagu itu saya hasilkan kerana minat, bukan kerana mahu mencipta fenomena.
“Kalau niat seseorang pengkarya adalah untuk menghasilkan lagu semata-mata demi viral, bagi saya itu sudah menipu pendengar.“Bayangkan mereka bekerja keras setiap hari, tetapi kita sebagai pemuzik hanya mahu mengambil jalan mudah,” katanya kepada Gempak ketika ditemui di TRX Mall, baru-baru ini.
Bagaimanapun, penyanyi rap itu turut menegaskan dia tidak menolak karya yang pernah tular, sebaliknya menyarankan pengkarya agar berhati-hati supaya muzik yang dihasilkan datang daripada niat yang tulus.
“Saya tidak menafikan bahawa jika sesebuah lagu itu tular, ia satu perkara yang baik. Tetapi ia bukan sesuatu yang saya fikirkan ketika proses rakaman.
“Sebagai pemuzik, matlamat saya adalah untuk sentiasa mencabar diri, berkembang, dan memberi sesuatu yang lebih baik kepada industri muzik.
“Dunia muzik sentiasa berubah. Jika kita takut untuk berevolusi dan cepat selesa dengan keadaan sekarang, kita akan rasa kehilangan sesuatu 10 tahun akan datang,” jelasnya.BERITA BERKAITAN: “Kak Gee Berkelas Tinggi” - Alyph Yakin Ziana Zain Mampu Hadapi Isu SPRM Dengan Tenang
BERITA BERKAITAN: Hasrat Untuk Duet Bersama Ziana Zain Tercapai, Alyph Rasa Bertuah - “Ketika Tulis Lirik Saya Hanya Boleh Bayangkan…”
Baru sahaja melancarkan album terbaharunya, The Storm, awal bulan lalu, Alyph mengakui dia berusaha keras dalam setiap karya yang dihasilkan, termasuk ketika orang lain sedang bercuti.“Tugas sebagai pemuzik memerlukan motivasi setiap hari. Saya masuk studio dan bekerja walaupun pada hari orang lain bercuti.
“Industri muzik kita mempunyai potensi yang besar. Penggemar muzik Malaysia juga mengharapkan artis dan penerbit mampu menunjukkan lebih daripada kebolehan mereka hari ini,” tambahnya.
Terdahulu, lagu Swipe nyanyian Alyph berjaya meraih lebih 13 juta pendengar di platform penstriman muzik selepas tular hingga ke Indonesia.
BERITA BERKAITAN: Alyph Anggap Tidak Salah Guna Lirik Berbaur Lucah - “Jika Ubah, Risau Mesej Tak Akan Sampai…”
BERITA BERKAITAN: Alyph Angkat Kisah Perjuang Hip-Hop Dalam Heat
Lagu itu sekali gus memecahkan rekod peribadinya, mengatasi lagu Sang Saka Biru yang sebelum ini mencatat 10 juta pendengar.Must-Watch Video