Filem
Buat Pemujaan Dalam Kondo, Ada Yang Aktif Dalam Talian… Ini Kisah Bomoh Tempatan Yang Pernah Menggemparkan Seluruh Negara
Perbomohan merupakan salah satu ikhtiar manusia untuk mencari kesembuhan dan menyelesaikan masalah.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, bomoh merupakan seseorang yang mengubati pesakit dengan menggunakan ubat tradisional atau menggunakan jampi untuk mengubat penyakit tersebut.
Namun ada juga bomoh yang diupah orang bagi mengenakan sihir kepada orang lain. Takutnya!
Jadi, di sini Gempak kongsikan kejadian-kejadian yang melibatkan bomoh yang pernah menggemparkan negara.
1. Raja Bomoh Cari MH370
Usaha seorang lelaki yang dikenali sebagai Raja Bomoh untuk mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) menggunakan buah kelapa dan batang buluh ternyata mendapat perhatian ramai pada 2014.
Teknik terkenal yang digunakan oleh Raja Bomoh Sedunia Nujum itu termasuk meneropong menggunakan batang buluh dan menggoncangkan kelapa.
2. Raja Bomoh Di Lokasi Kejadian Tanah Jerlus
Kehadiran Raja Bomoh atau nama sebenarnya, Ibrahim Mat Zin mencuri tumpuan pengamal media apabila hadir di lokasi kejadian tanah jerlus membabitkan seorang individu warga India di Masjid India, Kuala Lumpur, Ogos 2024.
Ibrahim memaklumkan kehadirannya ke lokasi kejadian adalah untuk membantu usaha mencari mangsa yang masih belum ditemui sehingga kini. Ibrahim dilihat merenjis air 'istimewa' di sekitar lokasi berhampiran.
3. Bomoh Muda Dalam Kondo Bikin Panik
Cahaya api yang dilihat jiran daripada sebuah unit kondominium di Persiaran Bukit Gambir, Gelugor, Pulau Pinang membongkar kegiatan seorang lelaki dipercayai melakukan pemujaan pada Jun 2021.
Difahamkan pada operasi itu, pihak berkuasa menemui pelbagai peralatan bagi aktiviti pemujaan seperti patung dan lilin serta beberapa gambar pasangan dipercayai bagi ritual berkenaan.
4. Bomoh Online Curi Perhatian
Seorang wanita berputih mata selepas diperdaya oleh bomoh 'online' yang kononnya dapat mengubati penyakit dan menyelesaikan masalahnya dengan teman lelaki.
Mangsa mengalami kerugian RM31,451 akibat ditipu oleh bomoh yang dikenalinya melalui Facebook (FB).
Sebut fasal bomoh, jangan lupa saksikan filem Don Dukun yang bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 31 Oktober ini.
Don Dukun menampilkan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Douglas Lim, Datuk Yusof Haslam, Sangeeta, Marsha Milan, Elly Arifin, Rashidi Ishak dan ramai lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Paling Seram Dan Mendebarkan, Ini Filem-Filem Berkisarkan Dukun Yang Pernah Menghantui Penonton
Must-Watch Video