BERITA
"Buka Pintu, Asap Tebal Dari Bilik Mandi" - Sanggup Bakar Wang Tunai Hampir RM1 Juta Bila Rumah Diserbu SPRM!
Pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka yang ditahan untuk siasatan kes rasuah melibatkan perolehan tender projek pembinaan pusat data sanggup membakar wang tunai hampir RM1 juta selepas dikejutkan dengan serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis.
Menurut sumber, ketika serbuan dijalankan di rumahnya di Petaling Jaya, pasukan pegawai SPRM menemui wang kertas RM100 yang keseluruhannya berjumlah hampir RM1 juta dalam keadaan sudah terbakar.
Katanya, lelaki itu dipercayai bertindak nekad mengambil beberapa bungkusan wang tunai dan cuba melupuskannya dengan membakarnya setelah melihat kehadiran SPRM.
"Hasil pemeriksaan dijalankan di bilik mandi berkenaan menemui wang kertas RM100 berjumlah hampir RM 1 juta yang sudah terbakar," katanya."Selepas pintu rumah berjaya dibuka, pasukan serbuan SPRM mendapati keadaan dalam rumah berkenaan dipenuhi asap tebal dari sebuah bilik mandi.
Tambah sumber, hasil pemeriksaan menyeluruh di rumah suspek menemui wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disimpan di dalam beberapa kotak bantal, tiga utas jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier selain barang kemas seperti cincin serta syiling emas.
Katanya, kesemua barangan berkenaan kemudian disita SPRM bagi siasatan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan mengenai tindakan suspek yang membakar wang kertas berkenaan.
Tegas beliau, tindakan suspek cuba melupuskan bahan-bahan bukti merupakan satu kesalahan serius yang boleh didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan serta membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Bagaimanapun beliau berkata, fokus utama siasatan kes ini adalah di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan suspek bersama isteri serta dua pengarah syarikat ditahan dipercayai terbabit rasuah melibatkan perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor bernilai kira-kira RM180 juta.
Kesemua suspek berusia lingkungan 40 hingga 60-an telah ditahan menerusi Op Ways yang dijalankan Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang pada Khamis.
Pengurus projek terbabit kemudian direman tujuh hari, isterinya direman tiga hari, manakala dua lelaki berjawatan pengarah syarikat direman lima hari.
Pada operasi itu, SPRM menyita wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang ditemui di rumah milik pengurus kontrak syarikat berkenaan.
Wang itu dipercayai rasuah yang dibayar kepada suspek sebagai balasan mendapatkan enam tender perolehan projek berkenaan.
Siasatan awal SPRM mendapati suspek telah menetapkan bayaran wang rasuah sebanyak 2.5 peratus bagi setiap tender perolehan projek yang diperoleh dua syarikat berkenaan.
Must-Watch Video