Kisah enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak di sini yang dikenakan kompaun RM1,500 oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) kerana tidak memakai pelitup muka masih menjadi topik hangat.

Setelah banyak pihak mengkritik termasuk golongan selebriti seperti Caprice bersuara ingin menghulurkan bantuan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin menafikan terhadap unsur penganiayaan terhadap para pelajar yang dikenakan kompaun.

Mohd Akmal sebaliknya menegaskan pegawai penguat kuasa KKM yang mengeluarkan kompaun tersebut hanya menjalankan tugas bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi untuk mengekang penularan COVID-19.

Lantaran itu, menerusi laporan BERNAMA beliau berkata kesemua pelajar yang dikompaun itu masih boleh membuat rayuan untuk mengurangkan jumlah kompaun tersebut dan pihaknya yakin kesemua pelajar itu mampu membayarnya.

"Saya yakin jumlah pengurangan itu seminimum mungkin dan mampu dibayar pihak pelajar dan jika sampai mereka tidak mampu untuk membayar kompaun, InsyaAllah saya juga boleh membantu untuk menyelesaikannya," katanya.

Mohd Akmal berkata kepada pemberita selepas merasmikan Operasi Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan Peringkat Negeri Perak Tahun 2021 di Bazar Ramadan Dataran Taman Orkid, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai insiden yang tular dalam media sosial dan menerima pelbagai kritikan daripada warganet yang mempertikai tindakan KKM itu kerana pelajar berkenaan dikatakan tinggal di kolej sejak lima bulan lepas dan tidak dibenarkan keluar.

Mereka dikatakan mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada beberapa pelajar yang tidak memakai pelitup muka atau meletakkannya di bawah dagu.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Perak sedang menjalankan siasatan terhadap kes yang turut membuat netizen membandingkan dengan kes selebriti tanah air yang masih tidak dikenakan tindakan di atas beberapa kesalahan yang dilakukan.

Kredit Foto: BERNAMA