Pelakon Nad Zainal berkongsi berita gembira apabila memaklumkan bahawa dirinya kini sedang hamil anak kedua.

Nad ketika dihubungi Gempak memberitahu, usia kandungannya sudah masuk empat bulan.

"Semua orang cakap baby PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), bukan. Masa PKP tak ada masa 'buat' (seloroh).

"Sebenarnya memang ada perancangan untuk tambah anak tahun ini atau tahun depan. Lagipun anak sulung dah besar. Saya tahu (hamil) lepas dua minggu ketika penggambaran dengan Remy dan Mimi Lana (drama Hati Yang Tersakiti)," katanya.

Menurut Nad lagi, anak sulungnya, Fahad Ibrahim Muhammad Faliq, 4, juga sudah tidak sabar untuk menerima kehadiran adiknya.

"Dia sangat teruja, setiap hari tanya bila baby nak keluar. Setiap kali itu kena terangkan pada dia,

"Dah lama tak ada anak kecil di rumah, jadi semua orang pun teruja," katanya.

Ujar Nad, keadaan kesihatannya juga semuanya baik-baik sahaja sepanjang di awal tempoh kehamilan tanpa alahan teruk.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 30, mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faliq Amirudin pada 18 Disember 2015.

Pasangan tersebut dikurniakan anak sulung yang mesra dengan panggilan Yem pada 14 Oktober 2016.