HIBURAN
Bukan Gila Publisiti, Ini Sebab Sophia Albarakbah Buat Laporan Polis - “Saya Terima Ribuan…”
Pelakon, Sophia Albarakbah mendedahkan punca dia membuat laporan polis berhubung isu buli siber dan gangguan seksual yang dialaminya sejak kebelakangan ini.
Menerusi hantaran di Instagram pada Sabtu, Sophia atau nama sebenarnya Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, berkata keputusan itu dibuat kerana mahu melindungi keselamatan dan maruahnya.
“Saya tahu ada yang tanya, kenapa saya buat laporan polis? Bitter? Gila publisiti? Tegakkan benang yang basah? Tidak!
“Sebab buli siber dan gangguan seksual bukan perkara main-main. Ia bukan gurauan dan bukan sekadar komen,” katanya.
Bukan itu sahaja, Sophia juga berkongsi beberapa tangkap layar mesej berbaur lucah, hinaan, ugutan serta fitnah yang diterima daripada pelbagai pihak.
“Saya terima ribuan mesej dan komen – fitnah, lucah, hinaan, ugutan… macam-macam. Ada yang anggap kecil, tapi bagi saya ia benar-benar melukakan, menjejaskan emosi dan merosakkan maruah saya sebagai wanita dan sebagai manusia.
“Saya kongsi di sini beberapa tangkap layar komen dan DM yang saya terima. Ini hanya sebahagian kecil, banyak lagi yang lebih teruk,” ujarnya.
Jelasnya, perkongsian itu bukan untuk memalukan sesiapa, sebaliknya menunjukkan realiti buli siber di media sosial.
“Saya tidak kongsikan untuk memalukan sesiapa, tetapi untuk menunjukkan realiti yang berlaku di media sosial. Inilah sebabnya saya ambil tindakan.
“Diam tidak akan mengubah apa-apa. Laporan polis ini bukan tentang dendam, tetapi perlindungan untuk keselamatan, maruah saya, dan untuk memberi mesej jelas bahawa wanita berhak dilindungi di bawah undang-undang,” katanya.
Sophia turut memberi pesanan kepada mangsa buli siber lain agar tidak berasa keseorangan.
“Kepada semua yang pernah lalui perkara sama, anda tidak keseorangan. Dan kepada mereka yang masih menyebarkan kebencian, ingatlah bahawa kata-kata anda boleh meninggalkan parut yang tidak akan sembuh,” katanya.
Difahamkan, pada petang Jumaat lalu, Sophia hadir ke Balai Polis Travers, Kuala Lumpur untuk membuat laporan rasmi berhubung perkara tersebut.
Terdahulu, nama Sophia kembali menjadi bualan selepas kisah lamanya yang dikaitkan sebagai orang ketiga dalam rumah tangga penyanyi Bella Astillah dan pelakon Aliff Aziz kembali diperkatakan sehingga mencetuskan semula kecaman netizen.
Pelakon itu sebelum ini menegaskan isu tersebut sudah lama berlalu dan tidak wajar diungkit, malah kecewa kerana tidak diberi peluang kedua sebaliknya terus dihina.
Kecaman terhadapnya memuncak selepas insiden kekok di pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) pada Ahad lalu ketika Bella menyampaikan trofi bagi kategori yang dimenanginya.
Must-Watch Video