Pelakon dan pelawak vateran, Azlee Senario terharu melihat sokongan peminat yang menghargai kerjayanya dalam bidang seni dengan menyumbang hadiah dalam bentuk ‘koin’ atau ‘gift’ TikTok.

Menurut Azlee atau nama sebenarnya Muhammad Azlee Jaafar, dia sendiri tidak menyangka platform Tik Tok sedikit sebanyak telah membantu dirinya meraih pendapatan sampingan menerusi sesi siaran langsung.

“Saya pun tak sangka penangan Tik Tok ni dan saya baru sahaja belajar. Ia bermula ketika saya menjadi juri untuk sebuah program TV.

“Ada sahabat cadangkan saya untuk buat live di Tik Tok. Katanya boleh cari duit lebih untuk tambang balik. Pada mulanya, saya macam malas nak mula.

“Kemudian, sahabat saya itu ciptakan akaun dan saya tak sangka platform itu boleh jana pendapatan. Saya terkejut sebab orang boleh beri ‘gift’ sebanyak itu.

“Ada satu hari, saya buat live selama lima minit dan telah meraih RM8,500,” katanya kepada Gempak.

Azlee berkata sedemikian ketika ditemui di majlis iftar dan tayangan video raya Suria FM yang berlangsung di Sri Pacific Hotel, Kuala Lumpur pada Isnin.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


Dalam pada itu, Azlee juga mencadangkan kepada para anak seni terutamanya artis senior untuk memanfaatkan platform Tik Tok demi meraih pendapatan sebagai persediaan sekiranya tiada tawaran kerja.

“Tik Tok ini boleh menjadi platform untuk meraih pendapatan sampingan terutamanya buat artis-artis lama. Mereka masih ada peminat yang sayang mereka dan akan berkongsi rezeki.

“Kita lihat sahaja Datuk Red, dia pernah susah sampai terduduk tapi disebabkan dia buang rasa malu dan gunakan platform yang betul, masyarakat jadi sayang pada dia.

“Kita bukan minta sedekah tapi orang yang memberi. Itu hadiah daripada orang ramai,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, Azlee turut mendedahkan dirinya mampu meraih pendapatan mencecah lima angka dalam masa sebulan dengan mengadakan sesi siaran langsung di Tik Tok.

“Saya tidak buat live setiap masa. Saya ada sasaran saya sendiri. Dalam satu hari, saya mencari RM500 dan kalau lebih, itu bonus.

“Dalam sebulan saya boleh dapat RM15,000. Saya akan keluarkan setiap hujung bulan. Saya anggap ia pendapatan bulanan saya.

“Alhamdulillah, setakat ini, duit kereta dan rumah, Tik Tok yang bayar,” ujarnya.

Terdahulu, Azlee telah membuat kemunculan istimewa menerusi drama Hari Raya Suria FM yang berjudul, Suami Raya.

Drama Suami Raya kini sudah boleh mula ditonton menerusi saluran Youtube Suria FM.