Pengarah filem Abang Adik, Jin Ong mengakui sengaja memilih tajuk 'Abang Adik' untuk diperkenalkan di pentas dunia demi mengangkat martabat bahasa Malaysia.

BERITA TRENDING: Filem Malaysia Abang Adik Box Office Di Taiwan, Kutip RM6.5 Juta

Enggan menggunakan judul berbahasa Inggeris, ternyata filem pertama arahannya itu mendapat perhatian luar biasa daripada penonton di luar negara.

"Saya tak nak guna judul 'Brothers' misalnya kerana saya mahu memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Sebab itulah tajuk 'Abang Adik' dipilih, luar daripada kebiasaan dan bukan berbahasa Inggeris.

"Daripada situ juga menarik minat orang luar untuk tahu lebih mendalam makna di sebalik perkataan abang dan adik itu dan belajar tentang bahasa negara kita.

"Malaysia ini negara yang unik dan punyai pelbagai bangsa serta masyarakat yang pelbagai budaya serta agama," ujarnya kepada Gempak.

Bukan nak bagi orang menangis

Jelas Ong lagi, ketika menggarap filem Abang Adik, niatnya hanya untuk menyampaikan mesej yang jarang diangkat kepada umum iaitu isu stateless (tiada kad pengenalan) dan kemiskinan di bandar.

"Terima kasih atas tangisan dan air mata, itu membuktikan kalian benar-benar menghayati naskhah saya.

"Saya bukan nak buat orang menangis, tapi hanya mahu tonjolkan emosi dan pertalian antara insan terutamanya adik-beradik.

"Filem ini segalanya tentang cinta sesama manusia, betapa tidak adilnya dunia dan kesukaran untuk meneruskan kehidupan walau berdepan pelbagai masalah hidup," ujar Ong yang akui tidak punyai adik-beradik lelaki dalam dunia realitinya.

Jodoh tak sengaja Wu Kang-ren

Dalam pada itu, tambah Ong, pelakon tempatan iaitu Jack Tan dipilih terlebih dahulu untuk menggalas peranan sebagai 'adik' dalam filemnya sebelum secara tidak sengaja bertemu jodoh dengan pelakon Taiwan, Wu Kang-ren.

"Kang-ren merupakan nama pelakon yang secara tidak sengaja diletakkan dalam pembentangan filem ini sekitar tahun 2020 di Taiwan. Ketika di bilik hotel, kami masih tercari-cari satu nama untuk melakonkan watak 'Abang' dan secara spontan kami terjumpa pelakon Taiwan ini.

"Dipendekkan cerita, selepas pembentangan, rupa-rupanya salah seorang panel merupakan kawan kepada Kang-ren dan beliau bercerita tentang naskhah filem ini kepadanya.

"Kang-ren sendiri yang datang kepada saya dan daripada situlah bermulanya segala magis seperti yang dilihat dalam Abang Adik," ceritanya.

A post shared by JackTan陳澤耀 (@jacktan_ahzhe)

Babak pecah telur di dahi

Kata Jack Tan pula, babak terakhir dalam filem Abang Adik menjadi babak paling sukar dan 'memenatkan' yang pernah dilakonkannya.

"Babak pukul telur di dahi itu sebenarnya secara tidak sengaja, pada asalnya babak itu banyak dialog. Tapi ketika rehearsal, saya dan Kang-ren cuba berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat (memandangkan kami banyak berlatih sebelum filem mula penggambaran).

"Selepas rehearsal tak semena-mena semua kru menangis walaupun itu tiada dalam skrip. Jadi, pengarah pun pilih untuk merakamkan babak sedih itu.

"Itu antara babak paling susah dan menggunakan paling banyak emosi. Selepas habis shoot babak itu saya keletihan," ujarnya.

A post shared by Abang Adik 富都青年 (@abangadikthemovie)


Selit Ong pula, babak pukul telur di dahi merupakan metafora kesusahan hidup yang dialami oleh kebanyakan penduduk di Malaysia.

"Saya pernah melihat rakan sekolah saya dahulu makan tengah hari dengan hanya sebiji telur rebus, dia pecahkan kulit telur pada meja dan makan isinya.

"Secara logiknya, telur adalah makanan yang semua orang mampu dan boleh beli (di Malaysia) jadi saya terjemahkan babak itu dalam filem saya. Cuma kulit telur itu dipecahkan di dahi adik-beradik sebagai simbol pertalian yang sangat erat," sambung Ong.



Untuk rekod, Jack Tan merupakan bintang utama filem Gold berkisarkan tentang pemain badminton yang menghidap kebas saraf brakial.

Filem arahan Adrian Teh itu dijadualkan tayangan pada tahun hadapan.

Filem Abang Adik diterbitkan More Entertainment Sdn Bhd dan New Century Southward Development Co Ltd dan diedar mm2 Entertainment.

Filem ini merekodkan kutipan pecah panggung di Taiwan, iaitu pada kadar NT$40mil (RM6.5 juta).