Francais Kampong Pisang yang mendapat sambutan ramai tampil dengan edisi Syawal iaitu Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa bermula 27 Mei lalu.

Selain beberapa watak yang tular seperti Barkoba, Yah Kuchei dan Pak Jabit, satu lagi karakter yang telah meraih perhatian ramai adalah wanita berpurdah yang dikenali sebagai Yati.

Menurut pemilik nama sebenar Norainisham Shamsul Hafizi atau Nisham, 22, pada awalnya dia berasa gementar apabila perlu berlakon dengan memakai purdah di samping Bell Ngasri memandangkan dia tiada pengalaman sebagai pelakon.



“Saya terima watak sebagai Yati daripada abang Mamat atas bantuan ayah saya. Saya dibawa bertemu dengan abang Mamat dan ditanya beberapa soalan mengenai lakonan dan terus diambil berlakon.

“Dapat berlakon bersama Bell, dimana dia seorang yang sangat berbakat, mula tu takut-takut tapi abang Mamat banyak berikan panduan berlakon dan ayah saya turut memberikan sokongan,” ujar Nisham ketika dihubungi Gempak.

Kata gadis yang berasal daripada Ipoh ini lagi, dia melihat banyak reaksi penonton yang berteka teki tentang siapakah di sebalik wanita berpurdah ini.



“Saya tengok daripada komen netizen, ramai bertanyakan wanita berpurdah ni Neelofa ke tapi tak sama pun. Saya sebelum ni memang tak dikenali, saya orang biasa yang baru menjejakkan kaki dalam bidang lakonan,” jelas Nisham.

Nisham turut bersyukur dan terharu apabila diberi peluang berlakon dalam sebuah karya Mamat Khalid yang kini mencatat kutipan berjumlah RM2 juta.

“Saya tahu filem Mamat Khalid memang sentiasa ramai peminat dan setiap kali release mesti jutaan orang yang tengok.

“Jadi untuk Kampong Pisang kali ni memang saya rasa sangat teruja, happy dan terharu sebab dapat berlakon dalam karya abang Mamat. Saya tahu bukan senang tapi alhamdulillah rezeki dan berkat sokongan bantuan ayah dan ibu saya,” ujarnya lagi.

Filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa ini masih mengekalkan barisan pelakon utama Kampong Pisang seperti Kazar Saisi, Aziz M Osman, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Mat London, Ahmad Yasin, Afea Deana, Joey Daud, Nazeera Sardi, Avaa Vanja, Yoep Hitler.

Istimewanya lagi, edisi raya kali ini mengembalikan Datuk Awie sebagai teraju utama serta watak-watak baru yang digerakkan oleh penyanyi dan pelakon Kaka Azraff, Imuda serta penampilan istimewa oleh Siti Elizad Sharifuddin dan Raja Azmi.

Filem ini mengisahkan seluruh penduduk Kampong Pisang bersama-sama mengerjakan aktiviti masak-masak pada sehari sebelum raya.

Saksikan filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 27 Mei 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang- ulang.