"Bukan Saya Bitter" - Pandangan Luca Sickta, 20% Line Up Lagu Tak Layak Bertanding Di AJL Tapi ...
Komposer dan penyanyi rap Luca Sickta berpendapat bahawa ada penyanyi yang tidak layak untuk bertanding di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) sejak beberapa tahun belakangan ini.
Ini kerana kata Luca, ada beberapa karya lain yang lebih layak untuk dipertandingkan selain tidak menolak wujud faktor perniagaan dalam acara tersebut.
“Sepanjang saya membesar dan menyaksikan AJL, saya merasakan ada penyanyi yang tidak sepatutnya berada di situ. Jujur saya katakan ada peserta yang patutnya layak ke pentas AJL tetapi tidak dapat, mungkin atas sebab business juga.
“Mungkin disebabkan industri punya show business. Macam itu juga yang berlaku di Hollywood, ada seorang penyanyi itu biasa, tetapi ada faktor lain sehingga dia di tolak naik. Itu pendapat peribadi saya,” katanya kepada Gempak.
Luca berkongsi pendapatnya ketika ditemui pada majlis sidang media lagu terbaharunya bersama Kmy Kmo dan Sufian Suhaimi berjudul Budi yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.
Ditanya seberapa banyak jumlah peserta yang tidak layak untuk bertanding di pentas itu, Luca menjawab sebanyak 20 peratus.
“Pendapat saya hanya dalam 20% sahaja, sangat sedikit. Tetapi jumlah itu yang memberi perubahan pada AJL. Saya cakap mengenai AJL yang beberapa tahun sejak kebelakangan ini. Itu apa yang saya lihat dengan pandangan saya.
“Bukan nak kata tidak bagus peserta itu, jujur masih ramai yang bagus, cumanya dalam hati saya ‘eh kenapa’. Line up sangat berbeza dengan zaman sewaktu saya kecil,” ujarnya.
Melanjutkan bicara, Luca berkata dirinya bukan terasa iri hati, sebaliknya hanya berkongsi pendapat peribadi sebagai seorang pencipta lagu.
“Sebenarnya kalau nak cakap pasal lagu, tipu lah kalau semua orang rasa peserta yang ada di AJL adalah layak. Masing-masing ada pandangan peribadi termasuk saya, jadi 20% yang saya sebut itu menjadikan AJL semakin off sikit.
“Saya cakap bukan sebab saya bitter, saya cakap berdasarkan perjalanan AJL yang saya tonton daripada kecil, daripada AJL itu lah buat saya kenal ramai pekarya hebat macam arwah Pak Ngah, M Nasir, kenal lagu tradisional Datuk Siti dan Noraniza Idris,” katanya lagi.