Gaya Hidup
Bukan Sekadar Siapkan Persalinan Rasmi Raja Permaisuri Agong, Rizalman Juga Menata Rias Balairung Seri Istana Negara
Umum mengetahui pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim telah berkhidmat mereka persalinan yang disarung Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billa Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang berlangsung Selasa lalu.
Selain itu, Rizalman turut menyediakan busana buat puteri-puteri Raja Permaisuri Agong di hari bersejarah itu.
Namun begitu, tanggungjawab pereka fesyen berprofil tinggi ini tidak terbatas dengan dua tugasan itu sahaja apabila dia turut diberi kepercayaan untuk menata rias ruang Balairung Seri Istana Negara sempena istiadat tersebut.
Perkara itu dikongsi Rizalman menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan umum.
Di entri tersebut, Rizalman yang juga merupakan pereka hiasan dalaman yang berpengalaman memuat naik beberapa foto yang diambil dalam ruang terbabit selepas ditata rias dibawah kelolaannya.
"BALAIRONG by @glamweddings & @glamreka_casa," tulisnya ringkas sebagai kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut Rizalman memuji hasil sentuhan Rizalman menata rias ruang Istana Negara serta mengucapkan tahniah kepadanya.
"Tahniah Datuk, terbaik!
"I remember admiring and thinking cantik gila dalam Istana Negara, before this tengok biasa je. Then tiba-tiba nampak post ni, oh no wonder, Datuk rupanya.
"Pendek kata, semua cantik, tahniah," tulis netizen.
Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berlangsung dengan penuh bersejarah di Istana Negara pada 30 Julai lalu.
Istiadat ini merupakan istiadat tertinggi di dalam negara dan ia melibatkan keberangkatan semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta kehadiran Yang di-Pertua Negeri-Negeri serta pemimpin Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Must-Watch Video