Sekilas
- Dayang Mariana Abang Bolhassan membawa teater tari Lagenda Puteri Santubong ke Panggung Sari, Istana Budaya pada 19 dan 20 Disember dengan tarian sebagai medium utama penceritaan.
- Produksi ini menggabungkan muzik, koreografi kontemporari, dan teknologi skrin LED untuk menggambarkan kisah dua puteri kayangan serta kehidupan masyarakat Santubong dahulu.
- Lebih 80 penghibur termasuk penari muda dan bakat dari Sarawak terlibat, dengan kos penerbitan melebihi RM1 juta dan rancangan untuk membawa pementasan ke Sarawak selepas ini.
Hasrat memberi ruang kepada penari tempatan untuk menjadi pencerita utama mendorong pengarah dan penerbit eksekutif, Dayang Mariana Abang Bolhassan, membawa Lagenda Puteri Santubong ke Panggung Sari, Istana Budaya, menerusi konsep teater tari.
Pementasan pada 19 dan 20 Disember ini menjadikan gerak tubuh, ekspresi wajah dan koreografi sebagai medium utama untuk menyampaikan kisah dua puteri kayangan itu. Muzik dan visual pula membina suasana setiap babak.
“Muzik bertindak menyokong tarian, bukan seperti teater muzikal biasa di mana penari hanya menjadi latar belakang. Dalam naskhah ini, tarian adalah penceritaan utama,” katanya pada sesi ramah mesra bersama media di Mid Valley, baru-baru ini.
Dayang Mariana berkata, lagu rakyat Puteri Santubong menjadi asas penceritaan, dengan liriknya diterjemahkan kepada gerak tari kontemporari.
Aktiviti menenun kain dan menumbuk padi turut digunakan untuk membezakan watak Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.
“Saya visualisasikan lirik tersebut ke dalam bentuk gerakan tari dan suasana persekitaran,” katanya.
Koreografi turut menggambarkan kehidupan masyarakat Santubong dahulu, termasuk kegiatan nelayan di muara dan industri pembuatan besi. Skrin LED dan pencahayaan digunakan untuk membina latar kayangan serta suasana di bumi.
Dalam versi pentas ini, persaingan merebut cinta Putera Serapi mencetuskan pertelingkahan antara dua puteri yang dipersembahkan menerusi koreografi pertarungan berunsur silat dan wusyu.
“Mesej ceritanya jelas: apabila kita bertelingkah dan bergaduh, tiada apa yang kita dapat,” katanya.
Produksi itu menghimpunkan kira-kira 80 penghibur, termasuk penari dari Sarawak dan bakat muda.
Bekas atlet gimnastik dan penari bebas Damia Alissya Irfan Saim, 19, dipilih membawakan watak Puteri Sejinjang, manakala penyanyi Bob Yusof menyampaikan dua lagu pada bahagian akhir.
Dayang Mariana berkata, pementasan itu turut membuka ruang kepada graduan seni tari daripada institusi seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaya (UM) untuk menampilkan kemampuan mereka di pentas berskala besar.
“Penari kita memiliki kemahiran yang sangat tinggi tetapi kekurangan pentas berskala besar yang meletakkan tarian sebagai tunjang penceritaan utama,” katanya.
Menurutnya, kos penerbitan melebihi RM1 juta, meliputi penerbangan penggiat seni dari Sarawak, penginapan, kostum, pencahayaan dan teknologi skrin LED.
Dayang Mariana turut berhasrat membawa produksi itu ke Sarawak selepas pementasan di Istana Budaya.