Sekilas
- Syafiq Kyle yakin tema pengorbanan dan cinta tanah air dalam Takluk 2: OP Daulat mampu tarik penonton ke pawagam dengan babak aksi yang kuat.
- Filem ini adalah kesinambungan Takluk: Lahad Datu yang sebelum ini berjaya raih kutipan RM28 juta dan mendapat sokongan hebat daripada rakyat Malaysia.
- Sentuhan fiksyen digunakan untuk menjadikan cerita lebih menarik, dan Syafiq percaya penonton tempatan sudah bersedia untuk karya berasaskan kisah benar.
Pelakon, Syafiq Kyle yakin kisah benar di sebalik Takluk 2: OP Daulat mampu menarik penonton ke pawagam, terutama menerusi tema pengorbanan dan cinta akan tanah air yang digarap dalam filem itu.
Menurut Syafiq, tema pengorbanan dan cinta akan tanah air sudah dekat dengan masyarakat sejak di bangku sekolah.
Baginya, cara tema itu diterjemahkan menerusi babak aksi menjadi antara kekuatan filem berkenaan.
“Saya rasa itu antara tarikan, filem ini bukan sekadar ‘menjual’ jalan cerita atau babak aksi, sebaliknya turut mengangkat tema pengorbanan dan cinta terhadap tanah air.
“Tema itu mungkin kedengaran ringkas kerana sudah kita pelajari sejak di bangku sekolah, tetapi pengarah menterjemahkannya menerusi pendekatan aksi secara visual.
“Jadi, saya rasa itu antara kekuatan filem ini,” katanya ketika ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem berkenaan di GSC IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.
Syafiq turut menyifatkan sambutan terhadap filem pertama, Takluk: Lahad Datu, sebagai gambaran sokongan penonton tempatan terhadap karya yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar.
“Kita dapat lihat sendiri bagaimana Takluk: Lahad Datu sebelum ini mendapat sokongan penonton sehingga meraih kutipan RM28 juta. Saya melihat pencapaian itu sebagai sokongan yang sangat luar biasa daripada rakyat Malaysia,” katanya.
Mengulas penggunaan unsur fiksyen dalam filem berasaskan kisah benar, Syafiq berkata sentuhan itu diperlukan pada bahagian tertentu untuk menjadikan naskhah tersebut menarik untuk ditonton.
“Ada bahagian tertentu yang perlu diberikan sentuhan fiksyen atas sebab-sebab tertentu. Namun, perkara paling penting ialah naskhah itu menarik untuk ditonton.
“Saya rasa penonton Malaysia sudah boleh menerima karya berdasarkan kisah benar atau peristiwa sebenar. Kalau kita lihat platform penstriman sekarang, sudah banyak cerita biografi, kisah benar dan karya yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar ditawarkan.
“Jadi, saya percaya penerimaan itu sudah ada dan penonton tempatan bersedia untuk menyaksikan karya sebegini,” ujarnya.
Takluk 2: OP Daulat ialah kesinambungan Takluk: Lahad Datu yang ditayangkan pada 2024. Sekuel itu menampilkan aksi ketenteraan berskala lebih besar dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Filem yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 26 November ini turut dibintangi Kamal Adli, Datuk Remy Ishak, Fadlan Hazim, Datuk Eman Manan, Nas-T, Luqman Hafidz, Taufiq Hanafi, Anas Ridzuan dan Sara Ali.