Laman Utama
“Bukan Tak Selesa Gelaran Kumpulan Nombor Satu Tapi…” - Dolla
Kumpulan Dolla boleh dikatakan antara girl group terhangat ketika ini sehingga ada yang melabelkan mereka sebagai penyanyi berkumpulan nombor satu di Malaysia.
Enggan terbuai dengan pujian, Dolla bagaimana menyatakan mereka tidak terlalu memikirkan tentang gelaran tersebut sebaliknya lebih memberikan fokus terhadap hasil kerja yang terbaik terlebih dahulu.
“Kami sangat bersyukur bila ada yang melabelkan kami sedemikian namun kami tidak pernah melihat diri kami sebagai kumpulan nombor satu.
“Mungkin di Malaysia sahaja orang melabelkan kami sebegitu, tapi bagi kami masih banyak lagi kerja dan usaha yang perlu dilakukan untuk menjadi lebih dikenali,” ujar salah seorang anggotanya iaitu Angel.
Dalam pada itu, Tabby juga berharap tidak ada yang menjadikan perbandingan sebagai topik utama dalam kerjaya mereka.
“Rasa bersyukur apabila ada orang di luar sana yang melabelkan kami sebagai kumpulan nombor satu, tapi dalam masa yang sama kami tidak mahu dibandingkan dengan sesiapa.
“Tak kisahlah sama ada nombor satu atau dua, yang paling penting adalah kami bekerja keras untuk memberikan produk dan muzik terbaik terbaik kepada peminat,” jelas Tabby.
Ditanya sama ada Dolla tidak selesa dengan gelaran penyanyi berkumpulan nombor satu, ini jawapan Sabronzo.
“Bukan tidak selesa tetapi kami sendiri sudah meletakkan tekanan kepada diri sendiri untuk menjadi lebih baik.
“Jadi kalau boleh tidak mahu tambah tekanan dengan memikirkan soal gelaran nombor satu yang diperkatakan.
“Kami sentiasa cuba memberikan sehabis baik dalam setiap projek yang dikeluarkan. Kami juga berharap orang di luar sana dapat melihat usaha dan kerja keras kami, semoga anda semua dapat memberikan sokongan,” ujarnya.
Dolla yang dianggotai oleh Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya kini melancarkan album pertama mereka berjudul New Classic yang memuatkan tujuh lagu.
Must-Watch Video