Seorang kanak kanak perempuan berusia 7 tahun ditemui meninggal dunia di kediamannya di Temanggung, Indonesia kerana dibunuh kedua ibu bapa sendiri.

Lebih mengejutkan, kanak kanak tersebut telah dibunuh sejak empat bulan lalu dengan bantuan jiran yang juga dikatakan berfungsi sebagai seorang bomoh. Mereka membunuh kanak kanak tak berdosa itu dengan cara melemaskannya dalam kolah mandi.

Alasan mereka membunuh kanak kanak yang dikenali dengan nama Aisyah kerana disifatkan terlalu nakal. Mereka juga mengatakan Aisyah dipercayai mempunyai 'darah' makhluk mitos Nusantara yang dikenali sebagai Genderuwo.

Genderuwo menurut definisi Wikipedia adalah mitos Jawa tentang sejenis bangsa jin atau makhluk halus yang wujud seperti manusia tetapi mirip kera.

Menurut laporan CNNIndonesia, kisah pembunuhan tersebut terbongkar selepas kanak kanak itu tidak dilihat dalam tempoh masa yang lama oleh saudara mereka. Kedua orang tuanya memberi alasan anak mereka sakit.

Berasa curiga, saudaranya dan penduduk kampung membuat laporan sehingga polis menemukan mayat Aisyah yang dipercayai telah mati sejak Januari lalu di dalam bilik.

Selepas ditangkap, kedua ibu bapa yang berusia 42 dan 38 tahun mengaku membunuh anak mereka kerana terlalu nakal.

"Selain itu dari hasil tilik Pak H, anak saya ada keturunan Genderuwo, sebab itu dia terlalu nakal.

"Jadi kami lakukan (lemaskan) untuk hilangkan aura itu," kata pasangan tersebut.

Pasangan itu juga mengaku, jiran mereka mengatakan anak kecil itu akan bangun sendiri selepas 4 bulan dan berubah menjadi baik.

"Kata H, nanti 4 bulan akan sedar bangun sendiri dan pasti sudah berubah tidak nakal lagi," lanjutnya.

Untuk menyembunyikan jenayah mereka, pasangan ini akan membersihkan mayat kanak kanak malang itu seminggu dua kali agar tidak berbau busuk.

"Saya bersihkan sama isteri saya. Seminggu dua kali," kata bapa kepada kanak kanak tersebut kepada pihak polis.

Kredit Foto: PikiranRakyat